Hina Nabi: ‘Alvin Chow’ Direman Esok – KPN

64
0

KUALA LUMPUR: Lelaki berusia 43 tahun yang juga pemilik akaun Twitter ‘Alvin Chow’ yang ditahan petang tadi selepas memuat naik komen jelik terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad SAW, akan direman esok.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata suspek terbabit kini ditahan di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan, iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak mengapikan atau mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain.

“Selain itu, dia turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, dan lain-lain).

“Permohonan reman ke atas suspek ini akan dibuat pada 7 Mac 2019,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Beliau berkata, orang ramai diingatkan untuk tidak menyalahgunakan media sosial atau sebarang rangkaian komunikasi, dengan memuat naik atau berkongsi kenyataan berbentuk provokasi yang menyentuh sensitiviti mana-mana agama dan kaum di negara ini.

Terdahulu, lelaki itu ditahan sekitar jam 5 petang tadi di pusat beli belah Plaza Pudu, di sini, oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kontinjen Selangor.

Suspek yang dikesan tinggal di Danau Kota, Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur ini dikehendaki polis berikutan laporan yang dibuat kerana melakukan penghinaan ke atas agama Islam, Nabi Muhammad SAW dan isterinya.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh, suspek sama turut dikesan mempunyai empat rekod jenayah lampau.

Polis juga turut merampas telefon bimbit milik suspek untuk siasatan lanjut.

Sebelum ini, pada Ahad dan Isnin lalu, polis menahan tiga lelaki atas kesalahan sama selepas dikesan membuat komen jelik terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad SAW menerusi Facebook serta Twitter masing-masing.

Suspek pertama, lelaki berusia 29 tahun, yang menggunakan nama ‘Bakakuk’ ditahan di Labuan, Sabah, manakala lelaki berusia 22 tahun menggunakan nama ‘Ayea Yea’ ditahan di Bau, Sarawak.

Suspek ketiga lelaki berusia 52 tahun ditahan dalam serbuan ke sebuah lokasi di Petaling Jaya, Isnin lalu, yang menggunakan nama ‘Yazid Kong’ di Facebook.

Semua siasatan kes berkenaan dilakukan mengikut Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Hingga semalam, polis sudah menerima 929 laporan berhubung kes penghinaan terhadap Islam, Nabi Muhammad SAW serta isteri baginda, Saidatina Aisyah, di seluruh negara dan 16 kertas siasatan sudah dibuka.