Henti SAR Jika Tiada Sebarang Petunjuk

4
0

GEORGETOWN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di Bukit Kukus yang memasuki hari kelima hari ini, akan dihentikan jika tiada penunjuk atau sebarang penemuan baru.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Saadon Moktar, berkata hari ini pihaknya akan meneruskan operasi untuk mengalihkan timbunan tanah runtuh hingga ke dasar untuk mencari mangsa.

“Seterusnya, kita akan menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) untuk pemeriksaan kali terakhir di seluruh kawasan bagi memastikan tiada lagi mangsa di tempat kejadian.

“Sekiranya tiada sebarang petunjuk baru, kemungkinan besar operasi ini akan ditamatkan ,” katanya kepada NSTP ketika dihubungi.

Setakat ini, sembilan mayat sudah ditemui terdiri daripada tiga lelaki Indonesia, lima lelaki Bangladesh dan seorang wanita Myanmar, manakala seorang lagi lelaki Bangladesh dilapor masih hilang dipercayai tertimbus dalam runtuhan itu.

Kejadian yang menimbus kontena serta rumah kongsi pekerja binaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus itu turut menyebabkan empat orang cedera terdiri daripada seorang lelaki Bangladesh, dua wanita Indonesia, seorang daripadanya mengandung empat bulan, dan seorang wanita Kemboja.

Operasi SAR disambung jam 8 pagi hari ini selepas ia dihentikan jam 10.10 malam tadi kerana kekurangan sumber cahaya.