Hati-hati Helah Pembangkang – Juwairiya

1114
0

Oleh : Saadah Latib

SHAH ALAM: Pihak pembangkang dilihat akan cuba membangkitkan mengenai isu –isu yang dirasakan relevan dengan keadaan semasa pada Pilihan Raya Kecil (PRK-14) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dalam menarik kembali sokongan rakyat kepada mereka.

ADUN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli berkata kemungkinan antara isu yang akan dibangkitkan oleh pembangkang adalah berkenaan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang dijanjikan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

“Pihak lawan akan mengambil kesempatan terhadap isu-isu yang berlaku terutamanya yang berkaitan manifesto.

“Tetapi saya yakin ramai rakyat Malaysia yang memberi keyakinan dan kepercayaan kepada kerajaan Malaysia baharu untuk menunaikan manifesto kita,” ujarnya.

Tambah beliau, walaupun acap kali kerajaan ditekan oleh pembangkang namun beliau percaya rakyat bijak menilai dan memberi peluang kepada PH dalam memenuhi janji yang diwar-warkan sebelum ini.

“Cuma kita perlukan sedikit masa kerana ianya merupakan satu proses, dan saya yakin rakyat makin matang untuk menilai pemimpin sedia ada yang perlu memperbaiki pentadbiran dari kerajaan terdahulu yang dilihat lemah untuk kita perbaiki,” katanya selepas ditemui pada Penamaan Calon PRK DUN Sungai Kandis di Dewan Besar Tanjung Majlis Bandaraya Shah Alam, semalam.