Harga Turun, Tapi Rakyat Bakal Tanggung RM900 Juta Subsidi Minyak – Najib

124
0

KUALA LUMPUR: Kerajaan mungkin terpaksa menanggung subsidi minyak RM900 juta jika harga minyak mentah melepasi had siling RM2.20 seliter, kata bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Najib, ia susulan tindakan kerajaan meningkatkan margin keuntungan pengusaha stesen minyak sebanyak 23 peratus bagi RON95, iaitu dari 12.19 sen kepada 15 sen seliter, manakala diesel pula dinaikkan kepada 10 sen seliter.

“Unjuran jumlah penggunaan petrol dan diesel oleh rakyat Malaysia bagi tahun 2019 ialah sebanyak 30 bilion liter.

“Harga RON95 yang diumum sepatutnya RM1.90 satu liter. Tetapi kerana margin keuntungan telah ditambah semalam, harga menjadi RM1.93 (RON95),” ujar Najib dalam hantaran di laman Facebooknya.

Najib berkata jika dicampur jumlah 3 sen seliter bersama unjuran jumlah penggunaan petrol setahun, rakyat Malaysia akan menanggung kos tambahan sebanyak RM900 juta.

“Kerajaan PH juga berjanji akan menetapkan harga siling untuk RON95 pada tahap RM2.20 satu liter dan berjanji akan memberi subsidi jika harga diapung melebihi harga siling ini.

“Jika janji harga siling ini benar-benar ditepati, ini bermaksud PH akan memberi subsidi kepada stesen minyak apabila harga minyak melebihi RM2.20 satu liter.

“Bergantung kepada harga minyak semasa, beban tambahan RM900 juta ini akan ditanggung, sama ada oleh rakyat melalui harga petrol lebih mahal atau oleh kerajaan dalam bentuk subsidi.

Membuat perbandingan, Najib berkata jumlah itu jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan bayaran bantuan musim tengkujuh kepada pekebun kecil iaitu pada RM165 juta, bantuan awal persekolahan (RM328 juta) dan bantuan kewangan khas Felda (RM77 juta) yang diumumkan pada Disember lepas.