Harga Minyak Diunjur Stabil, Tiada Lagi Pengubahsuaian Bajet – Najib

89
0
KONGSI

SAN FRANCISCO: Datuk Seri Najib Razak berkata harga minyak mentah dijangka stabil pada harga semasa antara AS$30-40 setong, justeru tiada lagi keperluan untuk membuat pengubahsuaian bajet.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, jika harga jatuh di bawah AS$30, maka kerajaan mungkin perlu melihat semula kedudukan fiskalnya. Pada hujung bulan lalu, Najib mengumumkan pengubahsuaian Bajet 2016 berikutan penurunan ketara harga minyak.

Kerajaan menyemak semula unjuran harga minyak dalam bajet kepada antara AS$30-35 setong daripada AS$48 sebelumnya.

“Nampaknya harga minyak dijangka stabil pada harga antara AS$30 hingga AS$40 setong, dan pada paras lebih AS$30 buat beberapa ketika.

“Ini bermakna, ia sejajar anggaran dalam pengubahsuaian bajet kita, jadi tiada keperluan lagi untuk membuat pengubahsuaian tambahan.

“Jika ia jatuh di bawah AS$30, kerajaan akan melihat semula kedudukan fiskal kita,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan kepada wartawan Malaysia yang mengikut lawatan beliau ke California, Amerika Syarikat.