Harap Azmin, Guan Eng Selesai Dengan Baik – Wan Azizah

93
0
KONGSI

SERI KEMBANGAN: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berharap Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dapat menyelesaikan perselisihan faham secara baik dengan Lim Guan Eng.

Presiden PKR berkata, perselisihan faham ekoran pengguguran dua wakil rakyat PKR daripada lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) Pulau Pinang perlu diselesaikan untuk mengelak isi itu berterusan.

“Saya harap isu ini (perselisihan faham Azmin dan Guan Eng) dapat diselesaikan dengan baik,” kata Ketua Pembangkang itu yang enggan mengulas lanjut.

Wan Azizah sebelum itu melawat serta menyampaikan sumbangan kepada pusat jagaan anak-anak pelarian Rohingya di sini hari ini.

Azmin dilaporkan berkata, PKR tidak gembira dengan penyingkiran dua wakilnya di Pulau Pinang daripada Penang Hill Corporation dan Invest Penang and Island Golf Properties Bhd, anak syarikat kepada syarikat pelaburan kerajaan negeri Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

Katanya, PKR akan menghantar surat kepada kerajaan negeri Pulau Pinang berhubung perkara itu.

Sementara itu, Guan Eng, tampil membuat bidas berhubung campur tangan Azmin dengan berkata Timbalan Presiden PKR itu sepatutnya tahu keputusan dibuat kerajaan negeri perlu diikuti ahli parti pemerintah atau gabungan.

Guan Eng seperti memulang paku buah keras apabila menegaskan Pulau Pinang tidak mahu situasi sama berlaku di Selangor seperti bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang tidak melaksanakan keputusan dibuat partinya.

Dua ADUN berkenaan ialah antara lima ADUN PKR yang berkecuali ketika pengundian usul dibawa BN berhubung isu penambakan laut dalam persidangan DUN negeri pada November lalu.