Hang Tuah Atau Hang Tuha?

256
0
KONGSI

Oleh: Faizal Riduan

Jika sebelum ini polemik kewujudan Laksamana Kerajaan Melaka, Hang Tuah yang dikatakan adalah cerita mitos dan lagenda, kini polemik baru timbul sama ada namanya Hang Tuah atau Hang Tuha sebagaimana yang dicetuskan oleh prof Emeritus Dr Ahmat Adam ketika melancarkan Sulalat u’s-Salatin yang telah dialih-aksaranya daripada naskhah milik Krunsenstern.

“Kesalahan membaca dan merumikan nama gelar dalam kitab Sejarah melayu dan Hikayat Hang Tuha selama ini banyak dipengaruhi oleh kaum Orientalsi Eropah. Mereka ini tersilap membaca ejaan sebagai Sapurba, Bat, Awi Dicu, Dang Merdu, Lekiu dan Tuah.

“Pada hal kata-kata itu masing-masing patut disebut Supraba, Bhuta atau Bota, Oya Deco, Dang Mardewa, Lukewa atau Lukaiwa dan Tuha atau Toh. Tuha adalah istilah Melayu kuno dan jawa Kuno (Kawi), Satu daripada makna kata Tuha yang dieja ta-waw-ha-alif atau ta-waw-ha ialah ‘tua’ seperti dalam ‘perempuan tua’,” jelas Dr Ahmat panjang lebar.

Kecelaruan dalam membaca huruf Jawi inilah yang dikatakan menimbulkan masalah apabila pentransliterasi yang tidak berhati-hati akan terkeliru bila membaca sesuatu perkataan. Masalah ini bertambah rumit apabila pentransliterasi menginsafi bahawa tulisan Jawi Melayu yang berdasarkan huruf Arab tidak mengutamakan penggunaan vokal sebagaimana yang dikritik oleh Maxwell sejak abad ke-19.

Tambahnya lagi, penamaan Hang Tuha bukanlah perkara baru dan bukan dicetuskan oleh beliau sebaliknya Francois Valentyn adalah orang pertama yang merumikan ejaan Jawi tersebut sebagai Tuha dan dengan betul menterjemahkannya sebagai ‘tua’ pada tahun 1726.

Dalam bukunya Oud en Nieuw Oost Indien, Valentyn menganggap ‘Kitab Hangtoeha’ yang dilihatnya di Ambon sebelum 1695 boleh juga disebut sebagai ‘Kitab Hantoea’ (Kitab Hang Tua).

Rujukan kamus tertua Melayu-Inggeris seperti Kamus Thomas Bowrey (1701) menyebut ejaan Jawi t/w/h sebagai ‘tooah’ dengan ditambah fonem ha (h) pada ‘tooa’ kerana mengikut sebutan lidah Inggeris sementara Kamus James Howison (1801) pun membaca ejaan Jawi t/w/h sebagai ‘tooah’ dengan maksud tua.

PROF_HANGTUAH“Tidak ada kata ‘tuah’ untuk erti nasib atau untung dalam kamus  Bowrey dan Howison, sebaliknya mereka menterjemahkan ‘fortune’ dengan kata ‘oontoong’ (untung),” jelasnya lagi dengan merujuk kata ‘tuha’ semasa dirumikan telah diterjemahkan sebagai ‘tua’ dan untuk memudahkan orang Eropah menyebutnya maka dieja sebagai ‘tuah’ atau ‘tuwah’.

“Para orientalis Eropah itu tidak tahu bahawa satu lagi makna ‘tuha’ ialah pemimpin atau ketua yang berketrampilan. Laksamana Hang Tuha bererti ‘laksamana sang ketua yang terampil’ (the competent leader). Ini bukan namanya tetapi hanya nama gelar atau ‘nickname’.”

John Leyden yang menterjemahkan Sejarah Melayu ke bahasa Inggeris mula-mula membaca ejaaan t/w/h sebagai ‘tuha’ untuk Hikayat Hang Tuha tetapi dalam Malay Annals yang diusahakannya kemudian dalam tahun 1807 dengan bantuan seorang Tamil Culia, Ibrahim Kandu menggantikan kepada istilah Hang Tuah. Gelaran itu kekal kemudian digunakan dalam buku Thomas Braddel (1850), T J Newbold (1839) dan W G Shellabear (1898) namun kefahaman Hang Tuah mereka adalah merujuk bermaksud Hang Tua.

“Kesilapan pengkaji Eropah meniru terjemahan ‘tuha’ oleh Valentyn yang menulisnya sebagai ‘tua’ dalam huruf Rumi itulah yang besar kemungkinannya telah mendorong penulis Eropah selepas Valentyn seperti Werndly (1694-1744), John Leyden (1775-1811), Crawfurd (1783-1868), Braddel (1823-1891), Newbold (1807-1850) dan Shellabear (1862-1948) mengeja t-u-a-h untuk ‘tua’,” ulasnya yang sedih dengan kesilapan pada abad ke-18 dan ke-19 itu terus disambung oleh ramai pengkaji termasuk pengkaji dan sejarahwan tempatan.

Malangnya pentransliterasi Melayu telah tersilap kerana menyangka ejaan Jawi t/w/h yang dirumikan menjadi t/u/a/h adalah untuk maksud ‘tuah’ yang membawa erti untung nasib. Pada hal kata ‘tuah’ hanya muncul sekitar tahun 1640-an iaitu seperti yang terdapat dalam kisah penghujung naskhah Hikayat Hang Tuha dan Hikayat Aceh.

Sebelum itu, bacaan dan sebutan huruf Jawinya adalah betul iaitu ‘tuha’ yang boleh bermaksud usia lanjut dan ketua yang terampil. Ia juga boleh bermakna petaruh dan taruhan jika dibaca sebagai ‘toh’.

“Kata ‘tuah’ itu sendiri boleh dipertikaikan keluaasan penggunaannya dalam sastera melayu sebelum pertengahan abd ke-17. Mereka yang masih berdegil mahu menyatakan laksamana melaka itu mempunyai nama pun sangat tersilap kerana adat pantang larang dalam kebudayaan Nusantara tidak mengizinkan nama seseorang hulubalang disebut atau ditulis dalam mana-mana hikayat kecuali nama gelaran,” hujahnya di program anjuran Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini.