Gugur Muka Lama Proses Biasa – Azmin Ali

37
0

SHAH ALAM: Pengguguran beberapa muka lama dalam barisan EXCO Selangor adalah perkara biasa dalam proses pembentukan pentadbiran selepas pilihan raya umum (PRU), kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, tidak timbul isu pengguguran disebabkan bekas EXCO terbabit gagal melaksanakan tugas dengan baik, sebaliknya bertujuan memantapkan pentadbiran melalui penggabungan muka lama dengan baharu.

“EXCO lama tidak dilantik (semula) adalah proses biasa apabila rombakan berlaku. Dalam pembentukan pentadbiran kerajaan negeri kali ini, 70 peratus adalah muka baharu.

“Bukan bermaksud mereka yang digugurkan itu tidak bagus. Mereka bagus sepanjang memegang jawatan EXCO,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat Menteri Besar Selangor selepas Majlis Angkat Sumpah Simpan Rahsia Rasmi di sini, hari ini.

Pembentukan pentadbiran Kerajaan Selangor kali ini menyaksikan pengguguran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, dan Dr Daroyah Alwi (ADUN Sementa) daripada PKR, selain Ean Yong Hian Wah (ADUN Seri Kembangan – DAP).

Seorang lagi bekas EXCO daripada PKR ialah Nik Nazmi Nik Ahmad yang kini Ahli Parlimen Setiawangsa selepas tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia pada PRU Ke-14 (PRU-14).

Tiga bekas EXCO daripada PAS, Datuk Iskandar Abd Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib, tidak terpilih berikutan parti itu bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH).

Ditanya dakwaan bahawa Istana Selangor tidak mempersetujui senarai awal barisan EXCO, antaranya kerana tiada menyenaraikan ADUN Bandar Baru Klang, Datuk Teng Chang Khim, dan ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim pula, Mohamed Azmin berkata, perkara itu tidak berbangkit kerana semua keputusan adalah atas perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Ingin ditegaskan perkara ini tidak berbangkit. Tidak timbul siapa dilantik atau tidak dilantik sebagai EXCO. Yang penting ialah setiap perkara perlu perkenan tuanku,” katanya.

SENARAI PENUH EXCO SELANGOR

1. Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

– EXCO Pembangunan Tanah dan Pengurusan Sumber Alam, Majlis Tindakan Ekonomi Selangor dan Komunikasi Strategik

2. Datuk Teng Chang Khim

– EXCO Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana

3. Amirudin Shari

– EXCO Pemberdayaan Generasi Muda & Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi

4. V Ganabatirau

– EXCO Pemberdayaan dan Pembangunan Sosioekonomi dan Kerajaan Prihatin

5. Izham Hashim

– EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani

6. Datuk Abdul Rashid Asari

– EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan

7. Dr Shaharuddin Badaruddin

– EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi

8. Ng Sze Han

– EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru

9. Haniza Mohamed Talha

– EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar

10. Dr Siti Mariah Mahmud

– EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga

11. Hee Loy Sian

– EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna