GST: Najib Persoal Tempoh Kenal Pasti Tunggakan Tuntutan

26
0

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini mempertikaikan bagaimana Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengambil masa sehingga tiga bulan untuk menyedari terdapat tunggakan tuntutan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM18 bilion.

Dalam catatan terbaharunya di laman Facebook, bekas Perdana Menteri itu turut menyoal kenyataan Guan Eng bahawa kerajaan tidak boleh membuat bayaran itu kerana sudah ‘dirompak’ sedangkan RM18 bilion itu bukanlah suatu angka yang kecil.

“Apa yang saya lihat, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebenarnya tidak menjangkakan peningkatan mendadak tuntutan GST sebaik sahaja ia disifarkan.

“Pengecualian cukai GST selama tiga bulan di mana kerajaan tidak lagi memperoleh pendapatan daripada (hasil) GST atau Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) turut bermakna wang di dalam Kumpulan Wang Amanah Disatukan yang sepatutnya disalurkan, mungkin sudah digunakan bagi menampung perbelanjaan bulanan kerajaan,” katanya.

Najib berkata, Jabatan Kastam Diraja Malaysia juga telah mengesahkan kutipan GST tidak dicuri, dirompak atau disalurkan ke mana-mana akaun tidak sah sebaliknya didepositkan ke dalam akaun Kumpulan Wang Amanah Disatukan Kerajaan yang kemudian digunakan untuk membayar kepada akaun tuntutan GST secara berkala.

“Tempoh yang disebut adalah sehingga 31 Mei 2018. Barisan Nasional (BN) hilang kuasa pada 9 Mei 2018. Ini bermakna, permintaan untuk menyalurkan dana ke akaun amanah tuntutan GST bagi bulan April dan Mei 2018 adalah di bawah pentadbiran Pakatan Harapan,” katanya.

Jelas Najib, jumlah tuntutan adalah berdasarkan kepada borang GST-3, yang mana ia diisi oleh pemilik perniagaan untuk membuat tuntutan yang kemudiannya bergantung kepada berapa jumlah yang sudah diaudit atau diluluskan oleh pihak kastam.

“Ia adalah jumlah kasar dan bukan jumlah yang sudah diluluskan. Berapa jumlah tertunggak yang sudah diaudit, ditolak atau diluluskan oleh pihak kastam sebelum membuat permohonan dana dipindahkan ke dalam akaun amanah tuntutan GST?” soal beliau.

Beliau juga bertanya daripada jumlah RM19.4 bilion itu, berapa banyakkah tuntutan baharu berikutan langkah pensifaran GST.

“Biar pun mengambil kira tuntutan GST bagi April dan Mei yang amat tinggi di mana ia bukan lagi di bawah kerajaan BN, lebih 76 peratus daripada tuntutan GST sudah dibuat oleh kerajaan BN dan menunjukkan tidak berlaku langsung rompakan seperti dituduh,” katanya.

Najib berkata, kutipan SST yang lebih rendah berbanding GST akan memburukkan lagi keadaan yang mana kerajaan dijangka tidak akan memiliki dana untuk membayar tuntutan GST tertunggak itu.

“Ini akan memberi kesan kepada pelabur yang risau janji Lim bahawa kerajaan PH akan mencapai defisit bajet 2.8 peratus tidak akan dapat ditunaikan.

“Tidak mencapai sasaran janji defisit bajet turut akan mengurangkan keyakinan pelabur dan akan menyebabkan penarafan kredit negara ini diturunkan,” katanya.

Beliau juga berharap siasatan pihak Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan mendedahkan perkara sebenar dalam isu terbabit.