GST Kekal 6 Peratus

62
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang ditetapkan enam peratus tidak akan dikurangkan walaupun pendapatan negara daripada sumber minyak semakin berkurangan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani, berkata kerajaan tidak bercadang mengkaji semula kadar enam peratus itu kerana nilainya munasabah, malah antara yang terendah berbanding negara lain di rantau Asia.

Katanya, adalah tidak wajar menurunkan kadar GST enam peratus ketika ini kerana pendapatan kerajaan berkurangan susulan kejatuhan harga minyak.

“Selain itu, ada banyak barang dan perkhidmatan tidak mengenakan cukai seperti makanan, pertanian dan pengangkutan,” katanya menjawab soalan Wong Tien Fatt (DAP-Sandakan) mengenai pengurangan kadar GST enam peratus berikutan kejatuhan harga minyak.

Johari berkata, kajian terperinci telah dibuat untuk memastikan kadar GST yang dikenakan adalah paling bersesuaian dengan mengambil kira kedudukan kadar cukai yang dilaksanakan sebelum GST iaitu cukai jualan 10 peratus bagi barangan dan cukai perkhidmatan enam peratus.