GKCM Ajak Ku Nan Dan Nazri Aziz Debat

559
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) mencabar dua pemimpin UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Seri Nazri Aziz untuk berdebat.

Setiausaha GKCM, Azhar Daeng berkata, debat perlu diadakan bagi menghuraikan kemelut kepemimpinan yang wujud dalam UMNO ketika ini.

“UMNO perlu membuka pintu perubahan dan pembaharuan ke arah memastikan bahawa ia kekal sebagai sebuah parti politik yang relevan dalam era ‘dunia tanpa sempadan’ sekarang.

“Adalah malang sekiranya UMNO dibiarkan berada dalam keadaan penafian yang tiada kelibat penghujungnya dan akhirnya memperlihatkan ia sebagai sebuah parti politik yang dipenuhi dengan barisan pemimpin yang jumud pemikirannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ujar Azhar lagi, beliau turut mencadangkan ‘UMNO memerlukan perubahan kepimpinan’ sebagai tajuk debat.

“Kami begitu teruja sekiranya UMNO dapat menyenaraikan dua orang pemimpin tertingginya untuk berdebat dengan kami. Dua orang ini adalah Datuk Seri Nazri Aziz dan Tengku Adnan sendiri.

“Kami berharap bahawa dua pemimpin ini tidak akan menolak pelawaan untuk perdebatan atau forum ini sesuai dengan dakwaan bahawa mereka ini adalah pahlawan dan jaguh UMNO,” katanya lagi.

Azhar ketika dihubungi FMT memberitahu beliau akan menghantar surat jemputan ke Ibu Pejabat UMNO esok. – FMT