Geng Mafia Jual Nombor Plat Kenderaan Pada Harga Tinggi

843
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Sebuah kumpulan `mafia’ didakwa menjadi dalang penjualan nombor pendaftaran kenderaan khas yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

MStar Online melaporkan, kumpulan terbabit mengawal bidaan rebutan nombor plat kenderaan, membeli dan menyembunyikan nombor tersebut sebelum menjualnya dengan harga yang lebih tinggi.

Bagi pemilik kenderaan yang mahukan nombor popular mereka perlu melalui ejen terbabit dan `runner’ mereka dengan mengemukakan bidaan lebih awal untuk nombor yang diminati, menurut laporan itu.

Perkara itu didedahkan oleh seorang runner yang hanya mahu dikenali sebagai Matthew apabila mendakwa, beberapa lagi rakannya turut mempunyai pejabat di jabatan berkenaan.

“Kami biasanya akan menunggu di sana. Apabila ada permintaan, kami akan membuat pra tempahan secara peribadi, pegawai akan membawanya ke pejabat kami dan kami akan berunding mengenai urus niaga itu,” dakwanya.

Matthew berkata, terdapat sebuah kedai motosikal dekat pejabat JPJ di mana runner boleh secara peribadi membawa pelanggan untuk memilih nombor yang mereka kehendaki.

Katanya, mereka akan menjual nombor plat tersebut dengan harga RM2,000 di samping mengenakan bayaran tambahan RM2,500 untuk motosikal tersebut, bergantung kepada model enjin.

“Jika pembeli tidak mahu motosikal tersebut, mereka akan mengenakan harga berbeza untuk mereka,” ujarnya.

Matthew mendakwa runner yang mengiklankan tawaran nombor pendaftaran di laman web akan mengenakan bayaran khas untuk nombor menarik.

Nombor seperti 2222 atau 5757 berharga antara RM2,000 dan RM7,000 manakala nombor istimewa seperti 3636 berharga tidak kurang daripada RM5,000.

“Bagi nombor berharga seperti 33 atau 77, ia boleh dijual dengan harga enam digit,” katanya.