Gejala “Bebal” Di Sebalik Budaya “Debat”

337
0
KONGSI

Oleh: Faizal Riduan

“Pada setiap isu terdapat dua pendirian yang bertentangan antara satu sama lain,” hujah Protagonas lebih 2,500 tahun yang lalu dikatakan sebagai asas budaya debat walau pun debat mungkin telah muncul lebih awal setua dengan tamadun manusia itu sendiri. Sama seperti demokrasi, debat adalah antara disiplin ilmu moden warisan daripada tamadun Yunani.

Ajaran Protagonas kepada pengikutnya di kalangan Sofis ini kemudian dikenali sebagai logik debat Yunani, “Saya betul dan anda salah” walau pun hakikatnya hari ini terdapat kebarangkalian untuk “dua-dua pihak betul” dan “dua-dua pihak salah”. Ajaran Sofisme kemudian dituduh sebagai ajaran sesat pada zamannya kerana menggunakan matlamat menghalalkan cara, bertujuan untuk menang dan mengorbankan prinsip serta kebenaran sebagaimana kritik Plato.

Malaysia yang baru menganuti demokrasi baru 60 tahun tampaknya belum dapat memahami perbahasan falsafah dan politik dalam demokrasi dan debat sebagaimana era kegemilangannya selama hampir 300 tahun pada zaman Yunani kuno. Ini tentunya berbeza dengan penerimaan negara demokrasi moden yang telah menerima pengaruh tersebut sejak zaman Pembaharuan di Eropah Barat dan sekali lagi semasa zaman pemulihan pelbagai neo-klasik pada abad ke-18 dan abad ke-19 di Eropah dan Amerika Syarikat.

Dengan hujah “debat bukan budaya kita”, untuk melihat calon perdana menteri daripada kerajaan dan pembangkang mengadakan ‘debat Lincoln-Douglas’ seperti pertarungan wakil Demokrat dan Republikan mungkin mustahil sebagaimana mustahilnya sistem demokrasi Malaysia menerima Pilihan Raya Perdana Menteri.

Untuk rekod, debat politik peringkat tertinggi yang berjaya dianjurkan setakat ini ialah debat “Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak” antara Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2008; debat “Pembaharuan Sistem Pilihan Raya” antara Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan pada 2012; dan debat “Pemansuhan PTPTN dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi” antara Khairy dan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli pada 2012.

Ironisnya budaya debat juga tidak wujud di peringkat  pemilihan parti termasuk parti pembangkang yang kebiasaan jawatan presiden dimenangi tanpa bertanding atau dikompromi di peringkat tertinggi. Dalam pemilihan Timbalan Presiden PKR pada 2014, antara penyandangnya Mohamed Azmin Ali, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution, “Wacana Timbal Timbalan” terpaksa dibatalkan kerana hanya Saifuddin yang berani turun ke tengah gelanggang.

Kebelakangan ini kelihatan suatu budaya ‘debat’ baharu yang tercabut daripada akar umbi Yunani sebaliknya mengambil falsafah Melayu, “berani kerana benar, takut kerana salah”. Falsafah asal debat yang sebenarnya bagi meraikan ‘perbezaan pendapat’ kini bertukar menjadi menjuarai pertaruhan ‘menang sorak’ ala Pak Kaduk.

Format dan konsep debat tersebut sebenarnya meraikan dan menjuarai ‘bebalisme’ seperti penganjuran debat “Manifesto BN Lawan Manifesto PR” antara Datuk Seri Najib Tun Razak dan Anwar Ibrahim anjuran Bersih, debat “Ekstremisme Agama di Malaysia: Satu Perbincangan” antara Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Pegawai Agama Kementerian Dalam Negeri, Ustaz Zamihan Mat Zin, anjuran Kumpulan Media Karangkraf dan terbaru “Debat Orang Muda: Belia Malas atau Dasar Kerajaan Lemah?” antara Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid dan Senator Siti Aishah Shaik Ismail, anjuran Sriknadi Keadilan yang berlangsung minggu lalu.

Berbeza dengan sejarah, epistemologi dan disilipin debat sebagaimana catatan Plato dalam bukunya Gorgias (Dialog) pada 380SM mengenai dialog atau perdebatan antara Socrates dengan sekumpulan kecil sofis dan tetamu yang lain di sebuah majlis makan malam maka kelihatan ketiga-tiga contoh penganjuran tersebut berjalan tanpa persetujuan calon dan pengesahan kehadiran mereka.

Penganjur yang mungkin tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan debat walaupun di peringkat sekolah rendah dengan ‘syok sendiri’ mengumumkan majlis debat tersebut tanpa persetujuan salah seorang pendebat. Dua gejala ‘bebal’ yang tidak beretika dan tidak profesional ialah apabila penganjur menggunakan nama pendebat (termasuk gambar) dan menyediakan kerusi kosong walaupun pendebat tidak pernah memberikan persetujuan untuk hadir.

Penganjuran majlis seperti ini sebenarnya mengetepikan etika, profesionalisme, adap dan nilai dalam majlis-majlis ilmu. Majlis debat sepatutnya untuk ‘pencerahan’ dengan beradu idea, pendapat dan pandangan sebaliknya menjadi program ‘pembodohan’ dengan ‘serangan peribadi’ dan ‘pembunuhan karektor’. Mereka kemudian pulang dengan mengandaikan khalayak membuat kesimpulan mereka ‘menang tanpa bertanding’!

Jika inilah tujuan penganjur maka majlis seperti ini tidak layak dinamakan sebagai ‘debat’ sebaliknya lebih sesuai dinamakan sebagai sesi ‘monolog’ atau ‘lawak duduk’ (sit down comedy)!

Jawapan Siti Aishah dalam laman Facebooknya menunjukkan ‘kebebalan’ seorang senator walaupun berpengalaman berdebat di Dewan Negara yang mengambil aspirasi daripada Dewan Perhimpunan Rakyat di Athens.
“Tanyalah Ikon Belia itu kenapa dia tak datang sedangkan ada surat rasmi. Kalau tidak hendak datang, jawab secara bertulis,” komennya dengan bahasa pasar dan tiada tatabahasa yang betul.

Sebagai seorang senator sewajarnya Siti Aishah memahami format dan protokol surat-menyurat dan debat. Surat yang tidak berjawab tidak boleh diandaikan penerimanya bakal hadir dan debat seorang diri itu bukanlah debat tetapi ‘monolog syok sendiri’ apabila beliau kemudian memilih untuk memberikan sidang akhbar. Inilah masalah apabila seorang senator dilantik daripada seorang blogger!

Jika Protagonas dan Socrates masih hidup, mereka yang asalnya berbeza pandangan mengenai debat tentunya boleh bersetuju bahawa program propaganda dan ritorik ini tidak layak dinamakan sebagai debat. Dan mereka pasti tidak menyangka bahawa acara debat dan dialog boleh berlaku di zaman moden dengan ‘kerusi kosong’!