Gangguan Bekalan Air Di Ibu Negara Esok

10
0

KUALA LUMPUR: Sebanyak 20 kawasan di ibu negara dan kawasan sekitar akan mengalami gangguan bekalan air yang dijangka berlaku bermula 9 malam esok hingga 11 malam Ahad.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd Abdul Raof Ahmad berkata antara kawasan terbabit ialah Bukit Bintang, Bukit Ceylon, Kampung Datuk Keramat, Pudu, Chow Kit dan Taman Duta. Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) telah mengambil langkah-langkah perlu bagi menghadapi gangguan bekalan air itu yang disebabkan kerja-kerja pembaikan kebocoran serius paip air mentah dan henti tugas sementara Loji Rawatan Air Bukit Nanas, katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menurut beliau, antara langkah tersebut ialah mengaktifkan Pusat Khidmat Setempat di kawasan parkir Hospital Kuala Lumpur pada 8 malam esok selain menempatkan tangki statik di premis-premis kritikal.

Sebarang pertanyaan boleh dimajukan kepada Syabas dengan melayari laman sesawang www.syabas.com,my, Facebook Air Selangor, Twitter @air_Selangor atau talian 15300.