Ganabatirau Dipanggil Polis Petang Ini

21
0

SHAH ALAM: Exco Selangor, V Ganabatirau, mengesahkan akan memberi keterangan kepada pihak polis mengenai kenyataannya dalam isu Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, berkata pihak polis akan mengambil keterangan petang ini, berhubung kenyataan yang menjadi kontroversi pada 26 November lalu.

“Saya sahkan akan dipanggil polis untuk diambil keterangan mengenai kenyataan saya tempoh hari.

“Sepatutnya, saya perlu hadir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor tetapi disebabkan ada mesyuarat perlu dihadiri, polis akan datang zke pejabat saya petang ini,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ganabatirau melalui akaun FB miliknya memuat naik satu status berhubung kejadian yang berlaku di kuil berkenaan dengan mendakwa ‘Muslim Group’ atau kumpulan Islam menyerang kuil berkenaan, sekali gus menjejaskan keharmonian kaum.

Bagaimanapun, beliau dipercayai menyunting status itu dengan menggantikan ‘Muslim group’ kepada ‘group of gangsters’ (kumpulan gengster) beberapa jam kemudian berikutan kecaman pelbagai pihak.