Enjin Kereta Api Ekspres Rakyat Terbakar, 310 Penumpang Selamat

135
0

SEREMBAN: Seramai 310 penumpang cemas apabila enjin kereta api Ekspres Rakyat terbakar di atas landasan setinggi lebih lima meter, satu kilometer dari Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Sungai Gadut di sini, hari ini.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis, semua penumpang kereta api termasuk pemandu selamat dan tidak mengalami kecederaan dalam kejadian 2.35 petang itu.

“Kereta api Ekspres Rakyat itu sedang dalam perjalanan dari Johor Baharu ke Butterworth, Pulau Pinang. Kebakaran itu berlaku akibat kerosakan enjin yang menyebabkan 80 peratus bahagian enjin dan tempat pemandu hangus.

“Pasukan bomba yang tiba di tempat kejadian pada 2.49 petang berjaya memadam dan mengawal api 10 minit kemudian daripada merebak ke gerabak yang lain,” katanya sebagai memetik laporan Bernama.

Susulan kejadian itu, kesemua penumpang diarahkan turun dan berjalan balik ke stesen KTMB Sungai Gadut.

Bagaimanapun, katanya pemandu kereta api mengalami cedera ringan melecur di bahagian jari.

Seramai 21 anggota melibatkan tiga jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Senawang dan Rembau dikerah ke lokasi kejadian.