Enam Kereta Musnah: Bekas Suami Direman Empat Hari

105
0

PETALING JAYA: Seorang lelaki berusia 27 tahun direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian enam kereta musnah dalam kebakaran berhampiran Stesen LRT Taman Jaya di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata pihaknya mendapatkan perintah reman itu pagi tadi bagi membolehkan polis menyiasat kejadian kebakaran kereta dipercayai berpunca akibat perbuatan khianat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

“Polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi melengkapkan kertas siasatan. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian terbabit boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Seorang lelaki bertindak membaling molotov cocktail ke arah kereta dinaiki bekas isteri bersama teman lelakinya sehingga mengakibatkan enam kenderaan musnah terbakar dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu.

Bagaimanapun, wanita terbabit dan temannya berjaya menyelamatkan diri daripada kereta yang sedang terbakar itu.

Suspek berjaya ditahan polis pada jam 11 malam semalam di sekitar lokasi kejadian dan polis turut merampas motosikal  jenis Yamaha Ego yang dinaiki lelaki itu.