Elaun Keraian Menteri, Timbalan Menteri Dipotong 10 Peratus

90
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Elaun keraian menteri dan timbalan menteri akan dikurangkan sebanyak 10 peratus berkuatkuasa awal bulan ini sebagai sebahagian daripada langkah penjimatan kerajaan.

Pengumuman itu dibuat oleh Perbendaharaan Malaysia menerusi pekeliling bertajuk ‘Garis Panduan Langkah-Langkah Mengoptimumkan Perbelanjaan Kerajaan’ di laman web rasminya.

Tujuan pekeliling itu adalah untuk memastikan semua Ketua Setiausaha Kementerian; Ketua Jabatan; Ketua Badan Berkanun; Ketua Eksekutif Syarikat Terhad Dengan Jaminan (CLBG) dan Ketua Agensi lain yang menerima peruntukan daripada kerajaan melaksanakan langkah mengoptimumkan perbelanjaan.

Antara langkah penjimatan yang diumumkan ialah membekukan pengambilan perjawatan baharu dan hanya membenarkan pengisian bagi menggantikan mereka yang bersara atau berhenti serta tidak membabitkan kewangan tambahan.

Menurut kenyataan itu, pertambahan jawatan baharu hanya dibenarkan di dalam sektor kritikal seperti pendidikan, kesihatan, keselamatan, penguatkuasaan dan kutipan hasil tetapi dikawal dengan ketat.

“Kekosongan jawatan lebih daripada dua tahun dimansuhkan manakala perlantikan pegawai kontrak baharu tidak dibenarkan, hanya boleh memperbaharui kontrak sedia ada,” menurutnya.

Pekeliling itu turut menyatakan perbelanjaan bagi membayar elaun lebih masa akan lebih diperketatkan.

Bagi perjalanan ke luar negara, ia hanya dibenarkan bagi urusan yang telah dijadualkan atau diluluskan.

“Digalakkan untuk mewakilkan urusan di luar negara kepada Duta atau Ketua Perwakilan Malaysia di negara berkenaan,” menurutnya.

Menurut pekeling berkenaan, semua acara, majlis, mesyuarat, bengkel dan seminar mesti diadakan di premis kerajaan sahaja dan dikurangkan perbelanjaan sekurang-kurangnya sebanyak 30 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Semua semua projek yang mempunyai komponen import yang tinggi perlu ditangguhkan dan pemberian geran kepada industri dikaji semula.

“Kementerian dan Jabatan perlu mengenal pasti bagaimana kaedah meningkatkan hasil masing-masing selain perlu mencari cara lain untuk berjimat.

“Jika hasil dapat ditingkatkan manakala kos berjaya dikurangkan maka kerajaan akan menimbangkan insentif yang bersesuaian melalui bajet tahunan,” menurutnya.

Bagi keterangan lanjut, boleh layari laman web http://1pp.treasury.gov.my/makluman/pindaan/217.