Elak FB Live Ketika Tawaf – Mufti Wilayah

7
0

KUALA LUMPUR: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berpendapat hukum membuat lintas langsung menerusi laman sosial Facebook atau Instagram ketika tawaf dan sa’ie adalah dibolehkan.

Begitupun, katanya adalah lebih baik perbuatan itu ditinggalkan oleh jemaah haji atau umrah demi menumpukan ibadah kepada Allah SWT.

“Ini kerana tawaf dan sa’ie termasuk dalam ibadat yang sepatutnya ditumpukan seperti berdoa, berzikir, membaca al-Quran, berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan khusyuk kepada Allah SWT,” katanya.

Menurut Zulkifli, pandangan beliau adalah berdasarkan hadis nabi diriwayatkan Imam al-Tirmizi: “Tawaf mengelilingi Kaabah seperti solat, hanya saja kamu (boleh) bercakap dalam tawaf. Barang siapa berkata tatkala tawaf hendaklah mengucapkan ucapan yang baik.”

“Kebanyakan ahli ilmu termasuk Imam al-Tirmizi juga berpendapat bahawa sunat seseorang yang sedang melakukan tawaf supaya tidak bercakap kecuali kerana keperluan atau kerana zikir kepada Allah atau kerana ilmu.

“Saya berpendapat perlakuan badan yang menjaga tatasusila serta adab ketika tawaf dengan memenuhi syarat serta hati yang sentiasa tawaduk kepada Allah hendaklah diwujudkan ketika tawaf atau sa’ie,” katanya dalam artikel berjudul ‘Tawaf Sambil Live Facebook Atau Instagram’ disiarkan di laman web rasminya semalam.

Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia untuk musim haji 1439H/2018 dijadualkan pada 14 Julai ini.

Mengulas isu lain, Zulkifli dalam artikel berjudul ‘Masjid Pinjam Dulu Duit Anak Yatim Untuk Buat Program’, berkata penggunaan harta anak yatim termasuk oleh masjid, walaupun akan digantikan, perlu dielakkan sama sekali.

“Ini kerana kedudukan harta anak yatim amat sensitif bahkan seolah-olah berada pada gaung dan jurang neraka kerana dibimbangi termasuk dalam memakan harta anak yatim. Oleh itu, elakkanlah penggunaan harta anak yatim.

“Sebaliknya, hendaklah dibahagikan (harta anak yatim) kepada mereka mengikut yang dipersetujui. Bukan hanya setahun sekali atau dua kali, tetapi apabila terkumpulnya sejumlah harta anak yatim, maka sebaiknya dibahagikan seperti sebulan sekali supaya dapat menampung kehidupan,” katanya.

Menurutnya, pengurusan harta anak yatim satu amanah besar yang perlu dijaga oleh pemegang amanah sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al Nisa’, ayat 10 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.”

Zulkifli berkata, terdapat banyak nas supaya seseorang itu menjaga harta anak yatim demi kebaikan mereka.

“Berkenaan aktiviti yang hendak dilaksanakan sewajarnya dipilih penggunaan harta yang lain dan bukan harta anak yatim.

“Inilah yang sepatutnya difikir oleh pemegang harta anak yatim. Justeru, kami tidak sependapat dengan yang akan membayar secara beransur-ansur harta anak yatim,” katanya.