ECRL Tetap Diteruskan Jika Harga Bersesuaian – Tun M

55
0

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi pendirian bahawa projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) akan diteruskan sekiranya harga yang ditawarkan bersesuaian.

Perdana Menteri berkata pihaknya mempertimbangkan meneruskan rancangan projek ECRL berbanding perlu membayar pampasan besar jika dibatalkan dan mahu meneruskannya pada harga yang dikurangkan.

Beliau juga mengakui dalam pemikirannya sudah mempunyai harga baharu projek ECRL tetapi enggan mendedahkannya.

“Ya, ada (harga baharu) tetapi saya tidak dapat mendedahkannya kepada anda,” katanya dalam wawancara bersama South China Morning Post (SCMP), di Manila, Filipina, semalam.

Dr Mahathir turut mengakui sukar untuk mencari penyelesaian kepada isu projek ECRL itu.

“Secara semulajadinya, China tidak mahu menghentikan projek itu kerana ia adalah projek besar. Saya rasa ia bagus untuk perniagaan.

“Sebaliknya, kita tidak mempunyai wang. Kita tidak mahu meminjam begitu banyak wang. Jadi, akan ada rundingan berterusan. Jika ia perlu diteruskan, harga yang ditawarkan perlu berpatutan kepada kita,” katanya.

Dr Mahathir berkata, kerajaan perlu membayar pampasan banyak jika membatalkan projek terbabit.

“Kita tahu tidak boleh membatalkan kontrak ini bagi sebelah pihak saja. Kita kena bayar pampasan.

“Pampasan boleh jadi sangat besar. Antara perlu membayar pampasan jika menghentikan projek dan meneruskan projek jika harga diturunkan, menjadi perkara yang kita akan pertimbangkan bagi melihat keputusan mana yang terbaik,” katanya.

Bulan lalu, Dr Mahathir dilaporkan berkata kerajaan hanya akan meneruskan projek ECRL sekiranya harga yang ditawarkan bersesuaian dan ketika ini, Malaysia tidak bersetuju dengan harga yang ditawarkan.

Sebaliknya, Malaysia berharap untuk mengeluarkan perbelanjaan kurang daripada kos yang ditawarkan iaitu lebih RM55 bilion, selain menegaskan bahawa bukan kerajaan tidak mahu meneruskan projek itu tetapi ketika ini kerajaan tidak mempunyai wang berkenaan.

Katanya, kos projek kereta api yang sangat mahal menyebabkan ia mengambil masa sehingga 30 tahun untuk membayar balik pinjaman dan akan dibebankan dengan faedah yang banyak sehingga akhirnya perlu membayar sehingga RM140 bilion.

Sebelum ini, Dr Mahathir berkata perbincangan dengan kontraktor mendedahkan bahawa projek itu boleh dilaksanakan dengan kos RM35 bilion, iaitu jauh lebih rendah daripada harga asal RM55 bilion yang dipersetujui sebelum ini.

Projek ECRL bernilai RM81 bilion diluluskan Kabinet pada Oktober 2016 dan pembinaannya akan dikendalikan oleh China Communication Construction Company Ltd (CCCC), manakala pembiayaan pula akan disediakan oleh Bank Eksport-Import China (Exim Bank of China).

Dalam wawancaran bersama SCMP itu, Dr Mahathir berkata jika terpaksa berpihak dalam persaingan geopolitik dan perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS), beliau mengakui Malaysia memilih China.

Katanya, pada masa ini tindakan AS sukar diramalkan dan pihaknya perlu menerima China yang lebih dekat dan mempunyai pasaran yang besar, sekali gus boleh mendapat manfaat daripada kekayaan China yang semakin meningkat.

Perdana Menteri berkata, pertimbangan Malaysia mengenai hubungannya dengan China juga tidak akan dipengaruhi momokan negara Barat yang mendakwa syarikat telekomunikasi China, Huawei terbabit dalam pengintipan.

Bagaimanapun, katanya, Putrajaya memerhatikan dengan teliti dan mengadakan perbincangan mengenai sekiranya pembabitan firma itu dalam rangkaian internet berkelajuan tinggi 5G di Malaysia akan menimbulkan ancaman terhadap keselamatan negara.

“Walaupun China menyebarkan pengaruhnya di negara ASEAN dan di seluruh dunia melalui inisiatif One Belt One Road, ia tidak kelihatan seperti republik itu ‘mahu membina empayar’,” katanya.