ECRL: Guan Eng Terkejut Kenyataan Azmin

14
0

KELANA JAYA: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng terkejut dengan kenyataan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung pembatalan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diterajui China Communications Construction Group Ltd (CCCC).

Beliau berkata, Azmin mungkin tidak dimaklumkan mengenai keputusan yang dibuat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu mesyuarat Kabinet Khamis lalu.

Pada mulanya Guan Eng mendedahkan bahawa Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu tidak maklum mengenai perkembangan terkini berhubung status projek berkenaan kerana beliau tidak hadir dalam mesyuarat Kabinet. Namun beliau enggan kenyataannya itu dijadikan andaian yang tidak sihat.

“Datuk Seri Azmin tidak ada dalam mesyuarat Kabinet yang terkini. Saya tidak mahu mengatakannya, …apa yang saya maksudkan dia tidak dimaklumkan keputusan daripada Tun (Dr Mahathir).

“Itu saya pun terkejut (dengan) pengumuman beliau, tapi mungkin itu kedudukannya. Saya tidak mahu sebut macam itu lah (Azmin tiada dalam mesyuarat Kabinet) nanti akan dikeluarkan beberapa andaian yang tidak sihat, saya hanya mahu sebut mungkin beliau tidak dimaklumkan apa hasrat Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan majlis sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-37 di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.

Pagi tadi, Azmin mengumumkan kerajaan membuat keputusan membatalkan projek ECRL diterajui CCCC dan keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet Khamis lalu.

Pembatalan itu dibuat kerana kerajaan tidak mampu menanggung kadar faedah projek hampir RM500 juta setahun.

“Kementerian Kewangan dijangka mengeluarkan kenyataan minggu depan berhubung perkembangan terkini projek berkenaan. Bagaimanapun saya hanya akan bertindak atas arahan Tun (Dr Mahathir),” katanya.

Portal berita Straits Times yang berpangkalan di Singapura sebelum ini melaporkan penamatan kontrak itu dilaksana susulan kegagalan CCCC mengurangkan kos projek kepada separuh, iaitu RM40 bilion berbanding RM81 bilion sebelum ini, selain menepati beberapa permintaan kerajaan.

Projek ECRL membabitkan jajaran rel sepanjang 688.3 kilometer dari Kota Bharu, Kelantan hingga ke Gombak, Selangor.

Sekurang-kurangnya 44 terowong akan dibina di beberapa kawasan dengan keseluruhan jarak meliputi 39.1km di sepanjang jajaran ECRL.

Ia termasuk terowong berkembar sepanjang 16.3km dari Bentong ke Gombak yang bakal menjadikannya terowong rel terpanjang di negara ini.

Laluan ECRL bakal menghubungkan Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan Lembah Klang.