Dua Lelaki Ditahan Seludup Perisa Vape

16
0

Oleh : Wartawan MySuara

KUALA LUMPUR: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Perlis menahan dua lelaki kerana menyeludup cecair perisa rokok elektronik (vape) di Batu 20 Jalan Padang Besar-Kangar, Padang Besar.

Komandernya, Syed Basri Syed Ali berkata dalam kejadian 5.45 petang itu pihaknya mendapat maklumat mengenai lori berhenti di bahu jalan dalam keadaan mencurigakan 5.45 petang semalam.

“Sepasukan anggota AKSEM Padang Besar yang melakukan pemeriksaan mendapati dua lelaki berusia 24 dan 46 tahun berada di dalam kenderaan terbabit.

“Pemeriksaan ke atas muatan kemudian menemui 25 kotak berisi 9,271 botol cecair perisa rokok elektronik yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan di Padang Besar, hari ini.

Tambahnya, pemandu lori juga gagal mengemukakan dokumen berkaitan muatan terbabit menyebabkan mereka terpaksa ditahan.

“AKSEM turut bertindak merampas barangan terbabit dan membawa lori bersama dua suspek ke Kompleks AKSEM Padang Besar untuk proses penahanan.

“Kita percaya kesemua botol perisa terbabit dibawa dari negara jiran ke Kuala Lumpur untuk dipasarkan di sana memandangkan permintaannya yang tinggi,” ujarnya.