Dua kapal Tangki Pindah Minyak Tanpa Bayar Cukai Ditahan

18
0

KOTA TINGGI: Tindakan dua buah kapal tangki memindah minyak disyaki Marine Gas Oil (MGO) tanpa membayar cukai ketika melakukan pemindahan minyak secara kapal ke kapal (STS) membawa padah apabila mereka ditahan Maritim Malaysia (APMM) di Tanjung Setapa, Pengerang di sini awal pagi tadi.

Pengarah APMM Zon Maritim (ZM) Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohd. Zulfadli Nayan berkata, kedua-dua kapal tangki yang berdaftar di Malaysia itu ditahan pada pukul 12.15 pagi.

Menurutnya, kapal tersebut ditahan ketika berada di kedudukan 2.5 batu nautika barat daya Tanjung Setapa dan kejayaan itu adalah hasil maklumat yang disalurkan orang awam.

“Seksyen Operasi ZM Tanjung Sedili telah menerima maklumat awam berkaitan aktiviti pemindahan minyak secara kapal STS yang dilakukan dengan niat seperti terdapat percubaan untuk lari daripada membayar cukai.

“Hasil siasatan mendapat kedua-dua kapal masing-masing membawa tujuh serta 34 kru kapal warga tempatan itu dan ketika pemeriksaan nakhoda kapal gagal mengemukan sebarang dokumen berkaitan pembayaran cukai dan Pengistiharan Kastam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Zulfadli berkata, kes akan disiasat mengikut peruntukan-peruntukan di bawah Akta Kastam 1967 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Jelasnya, jika didapati bersalah mereka boleh didenda sehingga dua kali nilai kargo yang terlibat.