Dron Ditembak Jatuh Berhampiran Istana Saudi, Cetus Spekulasi Rampasan Kuasa

71
0

RIYADH: Pasukan keselamatan Arab Saudi menembak jatuh sebuah dron mainan di ibu negara itu semalam, selepas video atas talian menunjukkan tembakan dilepaskan di sebuah kejiranan yang menempatkan istana diraja dan mencetuskan kebimbangan mungkin berlaku pergolakan politik.

Jurucakap polis Riyadh yang dipetik Agensi Berita Saudi (SPA) berkata, pos tapisan keselamatan ternampak sebuah dron mainan kecil pada 7.50 pagi waktu tempatan (12.50 tengah hari waktu Malaysia) menyebabkan pasukan keselamatan bertindak mengikut arahan dan peraturan mereka.

Tiada kecederaan dilaporkan dan Raja Arab Saudi, Salman Abdul Aziz tiada di istana pada waktu itu, kata pegawai kanan Saudi kepada Reuters.

“Raja Salman berada di ladangnya di Diriya,” kata pegawai itu merujuk sebuah kawasan lain di ibu negara Arab Saudi itu.

Video amatur yang tular di media sosial terdahulu menunjukkan tembakan kuat sekurang-kurangnya 30 saat, mencetuskan spekulasi berhubung kemungkinan berlaku cubaan rampasan kuasa di negara pengeluar utama minyak dunia itu dan menimbulkan persoalan kedudukan Raja Salman dan putera mahkotanya.

Satu video menunjukkan 2 kereta polis diletakkan di tengah jalan yang gelap. Reuters tidak dapat mengesahkan ketulenan video tersebut.

Berhubung video yang tular itu, pegawai berkata, dron berkenaan ditembak jatuh dan kerajaan bakal memperkenalkan peraturan untuk penggunaan dron mainan.

Arab Saudi menyaksikan satu siri perubahan politik radikal sejak beberapa tahun lepas di bawah kepimpinan anak Raja Salman, Putera Mohammed bin Salman yang mengetuai pembaharuan untuk mentransformasikan ekonomi, membuka negara itu dari segi amalan budaya masyarakat dan melaksanakan bentuk Islam lebih sederhana dalam negara konservatif itu.

Pemimpin 32 tahun itu menyingkirkan sepupunya yang lebih tua sebagai putera mahkota tahun lalu dalam rampasan kuasa istana dan bertindak memenjarakan berpuluh ahli perniagaan penting dan kerabat diraja, termasuk jutawan, Putera Alwaleed bin Talal dan Putera Miteb bin Abdullah yang mengetuai pasukan elit Pengawal Kebangsaan, dalam satu operasi anti rasuah.

Kebanyakan tahanan itu dibebaskan berikutan persetujuan yang dicapai dengan kerajaan.

Ruang mengkritik semakin sempit beberapa bulan ini susulan penahanan ulama dan aktivis terkenal dalam usaha kerajaan melemahkan pengkritiknya.

Langkah itu membantu Putera Mohammed mengukuhkan kedudukannya di negara yang kuasa pemerintahannya dikongsi bersama dalam kalangan putera kanan sejak sekian lama dan tokoh agama mempunyai pengaruh kuat ke atas dasar kerajaan.

Bagaimanapun, ia turut mencetuskan spekulasi berhubung kemungkinan berlaku penentangan terhadap putera mahkota itu, yang terus popular dalam kalangan generasi muda Arab Saudi.

Awal bulan ini, Putera Mohammed kembali daripada lawatan luar negara, termasuk ke Amerika Syarikat bagi mendapatkan pelaburan dan sokongan menyekat pengaruh Iran di rantau itu.

Riyadh dan Teheran terlibat dalam saingan pengaruh selama beberapa dekad yang melibatkan beberapa negara di rantau itu, termasuk Yaman.

Pejuang Houthi disokong Iran di negara itu kerap melancarkan dron ke sempadan selatan Arab Saudi, tetapi tiada hubungan ketara antara konflik itu dengan kejadian di Riyadh, semalam.