Didik Nilai Murni Sejak Tadika – Tun M

3
0

TOKYO: Didikan nilai-nilai moral yang baik perlu diberi perhatian di peringkat sekolah sejak dari peringkat tadika hingga ke universiti, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, sistem pendidikan negara perlu menerapkan pendidikan nilai-nilai murni dan keperibadian yang melepasi pengetahuan.

“Saya berpendapat beberapa perhatian perlu diberikan kepada sekolah dari tadika hingga universiti terhadap perbincangan mengenai nilai-nilai moral yang baik,” katanya dalam ucapan pembukaan dialog dengan pelajar di Toyo University di sini.

Perdana Menteri dalam lawatan kerja selama tiga hari ke Jepun sejak kelmarin.

Dr Mahathir berkata, beberapa negara telah menggunakan pendidikan sebagai bentuk indoktrinasi.

“Saya pernah melihat sekurang-kurangnya sebuah negara, di mana orang semuda enam tahun diajar agar mengasihi pemimpin dan menganggap beliau sebagai Tuhan yang tidak melakukan kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, dan hasilnya terbentuk sebuah rejim dan kerajaan yang zalim.

“Ia akan menjadikan rakyat sengsara dan kerajaan berkenaan akan gagal,” kata Perdana Menteri.

Yang turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; dan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.