Delusi Dan Utopia@Fiksyen Politik

318
0
KONGSI

Oleh: AZMAN HUSSIN

APABILA Dr Mahathir, dalam suatu sidang media, bercakap tentang ISA, beliau bertanya, “saya tangkap siapa?,” ia bukan lagi suatu paradoks, tetapi delusi.

Bagaimanakah mahu mempercayai perkara itu?

Anda semua sebenarnya sedang memasuki suatu dunia fiksyen ciptaan pembangkang. Pemikiran anda tidak lagi berpijak di bumi nyata.

Realiti yang sebenarnya, semua orang tahu bagaimana di bawah pemerintah Dr Mahathir, berapa ramai yang ditahan di bawah akta ISA, termasuk pemimpin-pemimpin yang bersama beliau dalam sidang media tersebut.

Jadi, bagaimanakah perkara ini mahu dinafikan?

Sebaliknya, ia dinafikan terang-terangan.

Sebenarnya ia bukan satu-satunya perkara yang kontra dengan realiti. Terlalu banyak lagi hal-hal lain yang tidak wujud, tetapi dianggap benar.

Anda dipukau dan dipengaruhi supaya mempercayai sesuatu yang khayalan. Hal ini diperkukuh dalam diri anda setiap hari dengan pelbagai ucapan, tulisan dan tindakan yang berulang-ulang. Ia mewabak seolah-olah ia adalah kenyataan yang benar. Banyak perkara yang tidak benar telah dianggap benar.

Minda orang ramai telah dimanipulasi, diadu-domba dan dipesongkan. Pendirian dan sikap orang ramai lebih berpandu kepada persepsi yang dibentuk oleh ahli-ahli politik ini.

Orang ramai hidup dalam ketakutan, fobia dan trauma ciptaan ahli-ahli politik ini.

Sekiranya anda mahu bertenang dan merenung realiti sebenar, anda akan tersedar betapa jauhnya anda dari realiti. Realiti anda dikaburi dan minda anda dibawa ke alam utopia.

Hari ini, kerana mahu menjatuhkan kerajaan, pembangkang telah mencipta pelbagai isu untuk mengeksploitasi dan mempengaruhi minda orang ramai.

Sebenarnya sukar untuk dipercayai bagaimana orang ramai boleh dikelabui dengan realiti, kerana ia sebenarnya perkara yang jelas di hadapan mata, sebagaimana Dr Mahathir tidak mengaku bahawa beliau pernah menggunakan akta ISA.

Anda pun tahu sejarah Dr Mahathir dan akta ISA.

Apa yang boleh dikatakan, anda hidup dalam khayalan jika anda fikir kehidupan anda ditindas dan dizalimi.

Malaysia yang semakin membangun dan maju, dengan begitu makmur dan terbuka, bagaimanakah mahu dipercayai rakyatnya ditindas dan dizalimi?

Itulah yang dipercayai oleh sebahagian orang ramai.

Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan penindasan dan kezaliman seperti yang diperkatakan oleh orang ramai itu?Apabila bercakap dengan orang ramai, reaksi sebahagian mereka terhadap kerajaan adalah buruk dan negatif.

Dan apabila ditanya lagi, mereka sebenarnya tidak ada jawapan selain menyebutkan isu-isu skandal yang tidak ada kaitan langsung dengan mereka. Mereka seperti tersentak apabila ditanya lebih lanjut, apa yang zalimnya kerajaan?

Ya, anda hidup dalam khayalan ciptaan pembangkang sebenarnya jika anda berfikir kerajaan hari ini sangat teruk dan zalim.

Marilah kita mengamati realiti dan khayalan itu.

Bagaimana GST sekadar 6% pun dikatakan menzalimi rakyat, sedangkan di negara-negara lain peratusannya lebih tinggi lagi sehingga berpuluh-puluh peratus? Cukai pendapatan juga lebih tinggi.

Anda katakan orang miskin juga dikenakan GST, sedangkan matematiknya jika orang itu miskin, perbelanjaannya mestilah kurang, dan apabila kurang berbelanja tentulah GST
pun kurang..

Kemudian, pembangkang menyatakan rakyat hidup dalam ketakutan dan tidak berani bersuara.

Bagaimanakah mahu dikatakan kerajaan menekan suara rakyat jika saban hari, di mana-mana, orang bebas mengkritik, malah mengutuk kerajaan?

Anda buka media-media sosial, anda akan melihat perkara ini.

Adakah logik jika dikatakan rakyat takut bersuara?

Di mana-mana orang bebas menyatakan pendirian politik mereka yang menentangvkerajaan.vSekiranya kerajaan zalim tentulah keadaan ini tidak akan berlaku. Apa yangvdigambarkan pembangkang seolah-olah anda akan ditangkap, diseksa dan dipenjarakan kerana mengkritik kerajaan.

Parti-parti politik pula bebas berkempen tanda suburnya demokrasi, jadi di mana diktatornya kerajaan? Dan pembangkang juga berjaya merampas beberapa buah negeri adalah bukti
pilihanraya adalah bebas dan tidak ada penipuan.

Tidak ada artis digam atau disekat apabila mereka menyatakan pendirian politik yang mengkritik kerajaan.

Karya-karya seni dan sastera sudah ditulis secara terang-terang mengkritik kerajaan, berbeza pada masa dahulu ia ditulis secara berkias.

Kenapa ia terjadi begitu? Kerana kerajaan hari ini lebih terbuka sehingga ia disalahgunakan.

Siapakah yang dipecat kerana menentang kerajaan seperti yang digambarkan oleh pembangkang? Pandanglah di sekeliling anda, jika anda bekerja dengan kerajaan, siapa yang dipecat atau ditukar kerana menyokong pembangkang?

Pembangkang berkata nama negara buruk di mata dunia, sedangkan realitinya merekalah yang memburukkan negara.

Ekonomi negara teruk? Walhal anda melihat orang ramai semakin hidup makmur.

Hampir tidak ada yang kebuluran kerana tidak cukup makan.
Jika anda mengharapkan tidak ada kemiskinan dalam negara ini, itu adalah suatu utopia. Di mana-mana negara dunia kemiskinan tidak dapat dihapuskan.

Anda hidup dalam ilusi jika anda mengharapkan barang-barang keperluan menjadi murah dengan menukar kerajaan. Hakikatnya dalam dunia ini setiap masa barang-barang keperluan semakin meningkat harganya.

Tidak ada kerajaan yang dapat mengawal sepenuhnya perkara ini.
Sebaliknya, kerajaan zalim manakah yang sanggup memberikan bantuan wang kepada rakyat yang memerlukan seperti program BR1M untuk meringankan beban mereka?

Anda hidup dalam delusi sekiranya mempercayai kerajaan zalim setelah melihat contoh-contoh tadi.

Dan apa yang dibawa oleh pembangkang adalah suatu utopia yang tidak mungkin terlaksana.

Bagaimanakah mereka mahu memerintah jika dalam satu masa mereka mahu menghapuskan GST, dan dalam masa yang lain mereka mahu menurunkan harga barang-barang keperluan. Itu sebenarnya suatu penipuan terang-terangan.Pembangkang menakut-nakutkan rakyat kononnya kerajaan menjual dan menggadai negara kepada negara luar.

Betapa ironinya keadaan ini. Pelaburan dikatakan penjajahan, sedangkan pada masa yang lain mereka menyatakan imej negara ini teruk sehingga tidak ada pelaburan asing.

Cubalah tanya diri anda, apakah penindasan dan kezaliman kerajaan ke atas anda.

Renunglah keadaan diri anda, jangan hanya mendengar cakap-cakap kosong.

Jawapan kepada semua ini adalah, ia hanya khayalan. Anda diheret masuk ke dalam dunia delusi ciptaan pembangkang sehingga tidak menyedari realiti.

Ia seperti sebuah filem rekaan yang dipercayai benar, dan anda sebagai penonton dipukau agar menyokong pembangkang yang dianggap hero, yang menentang kerajaan yang dianggap penjahat.

Jadi, apa sebenarnya kezaliman dan penindasan kerajaan ke atas anda?

Tidakkah semua ini hanya sebuah khayalan, delusi? Ia seperti kenyataan bahawa Dr Mahathir tidak pernah menggunakan akta ISA.

Mana-mana negara menghadapi masalah, tetapi apa yang digambarkan oleh pembangkang seolah-olah ia begitu kronik dan perlu diselamatkan walau dengan apa cara sekali pun.

Sekiranya anda fikir anda sakit, sedangkan anda tidak sakit, lama-kelamaan anda mungkin dihidapi penyakit.

gambar – Bioshock infinite