DBP Sokong Pendirian Kerajaan Tolak UEC

93
0

Oleh: Shaiful Nizam

KUALA LUMPUR: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyokong penuh pendirian kerajaan melalui Kementerian Pendidikan yang tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dari sistem pendidikan sekolah menengah persendirian Cina (SMPC).

DBP dalam kenyataan medianya hari ini mengambil pendirian tegas kerana UEC bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang diperuntukkan oleh Akta Pendidikan 1996 dan Dasar Bahasa Kebangsaan di bawah Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

Jelas Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Adzis Abas, kedua-dua peruntukan itu jelas menyebut bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi termasuk dalam bidang pendidikan.

“UEC juga tidak mematuhi kehendak Dasar Pendidikan Kebangsaan, seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Pendidikan 1996 [Akta 550].

“Pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan melalui satu sistem Pendidikan Kebangsaan menetapkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama, kurikulum kebangsaan dan peperiksaan yang sama,” katanya dalam kenyataan kepada BH.

Tambahnya lagi, UEC yang dikendalikan oleh badan persendirian sejak tahun 1975 menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar utama, kurikulum dan peperiksaan yang tidak menepati standard dan aspirasi negara iaitu membina negara bangsa.

Ini dapat dilihat dalam subjek bahasa Melayu dan Sejarah dalam UEC yang tidak setara dengan sukatan pelajaran Kurikulum Kebangsaan dan cakupan sejarah Malaysia dalam mata pelajaran sejarah juga tidak mencukupi bagi menggambarkan keseluruhan sejarah negara.

“Keadaan ini tidak menepati hasrat kerajaan yang menekankan kepentingan subjek Bahasa Melayu dan Sejarah sebagai wadah bagi memupuk perpaduan negara dan membentuk jati diri kebangsaan setiap warga negara Malaysia,” ujarnya.

Menurut Adzis, sistem pendidikan kebangsaan yang menetapkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar, Kurikulum Kebangsaan dan peperiksaan yang sama selama ini telah terbukti berjaya melahirkan golongan cerdik pandai yang diiktiraf di dalam negara dan pada peringkat antarabangsa.

“DBP menggesa kerajaan supaya tidak mengiktiraf UEC demi kedaulatan dan maruah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta kemampanan sistem pendidikan kebangsaan,” katanya.

Terdahulu Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) meminta kerajaan untuk mengiktiraf UEC bagi membolehkan kemasukan ke universiti awam di Malaysia.