Datuk Didakwa Rogol Cucu 9 Tahun

12
0

KUANTAN: Seorang datuk berusia 58 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan merogol cucunya, Ogos lalu.

Tertuduh berasal dari Bachok, Kelantan membuat pengakuan itu selepas pendakwaan dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Warga emas itu dituduh merogol cucunya yang berusia sembilan tahun pada Ogos lalu di ruang tamu sebuah rumah di Jaya Gading, dekat sini.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan boleh disebat sekurang-kurangnya 10 kali.

Tertuduh ditahan pada 2 November lalu selepas ibu mangsa membuat laporan polis pada hari sama.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd Nazari tidak menawarkan jaminan dan tertuduh juga tidak mengemukakan sebarang rayuan.

Hakim Siti Aminah membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan kes disebut semula pada 19 Disember ini.