DAP, PKR Tolak Cadangan Naib Presiden BERSATU

15
0

KUALA LUMPUR: Pemimpin parti komponen Pakatan Harapan (PH) menolak keras cadangan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, yang mahu projek kerajaan diberikan kepada ketua Bahagian dan Cawangan parti itu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, menegaskan beliau dan majoriti pemimpin PH tidak menyokong cadangan yang diutarakan ketika Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU, hujung bulan lalu.

Ahli Parlimen Segambut dari DAP itu berkata, rakyat Malaysia memilih PH untuk menggantikan Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan kerana mahukan perubahan serta menolak amalan kronisme itu.

“Saya tak sokong. Saya percaya banyak Ahli Parlimen PH juga tidak sokong cadangan ini. Kita dipilih oleh rakyat Malaysia untuk melaksanakan satu pentadbiran yang bersih dan baharu.

“Cara pentadbiran kita mesti berbeza daripada yang lepas. Kita sokong pelaksanaan tender terbuka dan kita sokong hanya golongan yang layak, cekap dan boleh buat kerja diberikan kontrak, tanpa mengira parti apa sekali pun,” katanya ketika ditemui selepas melawat Anjung Singgah Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai cadangan Abdul Rashid ketika bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu menyampaikan ucapan penggulungan pada PAT BERSATU bulan lalu, yang mendapat sorakan serta sokongan majoriti perwakilan.

Turut hadir, Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai; Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran.

Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Harun, tidak hadir walaupun lawatan itu diadakan di kawasannya, namun difahamkan beliau menghantar wakilnya.

Mengulas lanjut, Hannah berkata, PH juga perlu meneliti semula kaedah pemberian kontrak kepada kontraktor sedia ada kerana beberapa masalah yang timbul.

“Banyak isu yang kita hadapi sekarang adalah kadar projek yang melambung tinggi (oleh kontraktor sedia ada). Kita tidak sokong.

“Kita nak kontraktor tahu ini adalah kerajaan baharu. Kami mahu kos yang berbaloi dengan nilai projek,” katanya.

Mengulas perkara sama, Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi PKR, senada dengan Hannah dan menegaskan pemimpin parti yang memperjuangkan agenda reformasi itu menolak cadangan Abdul Rashid yang membelakangkan janji PH kepada rakyat.

“Rakyat, khususnya warga Kuala Lumpur mengharapkan pembaharuan dan penambahbaikan pada kualiti perkhidmatan serta pelaksanaan projek, antaranya projek jalan raya.

“Kami harap kita dapat menunaikan janji PH untuk melaksanakan proses tender terbuka. Itu janji yang perlu kami tepati,” katanya.

Terdahulu, Hannah bersama beberapa Ahli Parlimen Kuala Lumpur melawat Anjung Singgah di Jalan Hang Lekiu, Pusat Khidmat Gelandangan di Jalan Medan Tuanku, Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur (PTGKL) di Jalan Pahang serta Food Bank Kechara Soup Kitchen di Jalan Barat.

Lawatan itu bertujuan mendedahkan perkhidmatan disediakan di situ kepada Ahli Parlimen yang hadir, supaya maklumat itu dapat disampaikan kepada masyarakat di kawasan masing-masing.

Mengulas mengenai lawatan itu, Hannah berkata kementeriannya berharap jumlah gelandangan tidak bertambah menerusi perkhidmatan pencarian pekerjaan serta pemerkasaan kemahiran kepada golongan itu, yang disediakan di Anjung Singgah.