Dakwaan Istana Suruh Saya Undur Bohong – Mukhriz

156
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir menafikan beliau disuruh menandatangani surat meletakkan jawatan oleh Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

“Dakwaan dalam media perdana dan blog pro-Najib bahawa saya telah disuruh oleh Jemaah Pemangku Sultan Kedah untuk meletak jawatan dengan menandatangani surat, tapi kononnya saya enggan melakukannya sebanyak dua kali adalah satu pembohongan semata-mata,” katanya.

Penafian itu dibuat di Facebok Mukhriz Mahathir FC pagi tadi.

Kedudukan Mukhriz menjadi kemelut setelah dipertikaikan timbalannya dalam Umno negeri Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah yang memimpin sidang media menolak kepimpinannya dua minggu lalu.

Ia dipercayai susulan kelantangan bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad mengasak pentadbiran Najib dan mendesaknya berundur.

Walaupun kebanyakan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dikatakan tidak lagi bersamanya, Mukhriz dilihat cuba bergantung kepada sokongan warga Kedah.

Ia antaranya cuba digambarkan dalam himpunan di Stadium Darul Aman, Shah Alam malam tadi.

Jemaah Pemangku Sultan Kedah hari ini dijadual bertemu dengan 15 ADUN pembangkang pula setelah giliran wakil BN semalam. – MK