Dakwa Tun M Jika Ada Unsur Jenayah – Rais Yatim

147
0
KONGSI

KUANTAN: Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosio Budaya, Tan Sri Dr Rais Yatim menegaskan bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bukan calang-calang individu yang boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan.

Menurutnya, Mahathir hanya boleh didakwa sekiranya percakapan beliau mempunyai unsur jenayah.

“Di sini kita perlu mengimbangi nilai perjuangan dengan undang-undang dan ternyata ramai cuba guna Seksyen 3 dan 4 Akta Hasutan sebagai tekanan, namun  mereka jarang dapat menilai sesuatu pendakwaan itu kerana ia berasaskan pada niat.

“Jika niat tersebut tidak dapat dibuktikan untuk menghasut, maka perbuatan itu adalah sia-sia,” katanya mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed bahawa tindakan akan diambil terhadap Mahathir kerana mengeluarkan kata-kata berunsur hasutan bagi menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Program Budi peringkat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini, semalam.

Rais berkata, perkara itu akan bertambah buruk sekiranya dakwaan tersebut dibuat sebagai tindak balasan politik semata-mata.

“Pelbagai aspek perlu dikaji terlebih dahulu memandangkan jika dilihat secara umum, segala dicakapkan pemimpin DAP termasuk  Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng, semuanya seolah-olah tiada sebarang kesan untuk diambil tindakan susulan.

“Sebaliknya jika Tun M bercakap sesuatu perkara, dengan segera pelbagai tindakan akan diambil ke atasnya… Ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak sihat dalam komuniti atau masyarakat kita.

“Dengan itu, saya harapkan pihak tertentu terutama peguam negara tidak mudah terpengaruh dengan desakan sesetengah pihak yang hanya pandai berkata-kata,” katanya.