Cukai Minuman Bergula Akan Diperhalusi – Wan Azizah

16
0

PUTRAJAYA: Mesyuarat Kabinet akan datang bakal membincangkan pelaksanaan cukai eksais bagi minuman bergula dalam usaha kerajaan mewujudkan budaya hidup sihat dan mencegah penyakit tidak berjangkit (NCD) di kalangan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata cadangan untuk dasar berkenaan sudah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Ke Arah Persekitaran Hidup Yang Sihat yang dipengerusikannya hari ini.

“Cukai ini belum diperincikan, kita nak bawa ke Kabinet dan Menteri Kewangan akan memperhalusinya.

“Hasil cukai mungkin dimasukkan ke dalam dana Kumpulan Wang Disatukan .

“Malah kita melihat contoh kejayaan beberapa negara yang melaksanakan cukai seumpama ini seperti Brunei, Thailand, Filipina dan juga Mexico,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini. – BH