Cubaan Runtuhkan Islam Melalui Institusi Raja – Asyraf

22
0
KONGSI

KOTA BAHRU: Benteng terakhir agama Islam di negara ini dilihat cuba diruntuhkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab dengan memperlekehkan institusi raja-raja Melayu, kata timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, hari ini ada pihak yang memahami kerangka perundangan Malaysia, berhasrat meruntuhkan institusi agama Islam.

Katanya, benteng utama yang mereka perlu runtuhkan adalah institusi raja-raja Melayu.

“Sebab itulah kalau kita lihat di ruangan media beberapa tahun kebelakangan ini, ada usaha-usaha pihak yang tidak bertanggungjawab memperlekehkan dan menghasut rakyat supaya mempertikaikan kredibiliti raja-raja.

“Dan ini juga dilakukan oleh mereka yang mempunyai jawatan dalam parti-parti politik, saya kira inilah yang harus kita kekang dan tangani,” katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu beliau menyampaikan bantuan kepada imam, bilal, siak dan guru takmir bagi seluruh negeri Kelantan yang berlangsung di Masjid Muhammadi, di sini.

Asyraf berkata, rakyat perlu diberi pencerahan supaya mempertahankan institusi raja bagi memelihara kemuliaan dan kesucian Islam sebagai agama rasmi negara.

“Kita perlu pertahankan kerana institusi raja adalah institusi yang menjaga agama Islam, kuasa agama Islam terletak di bawah institusi raja-raja Melayu.

“Institusi raja ini harus kita lihat lebih tinggi daripada segala-galanya dalam struktur perundangan dan pemerintahan negara. Dalam konteks agama Islam ini bawah kuasa raja-raja Melayu,” jelasnya.

Justeru itu tegas beliau, sebagai benteng terakhir agama Islam menjadi kewajipan untuk mempertahankan institusi raja-raja Melayu daripada sebarang ancaman.

“Jadi apa juga usaha yang memperlekehkan dan meremehkan institusi raja harus ditangani dengan tegas,” katanya. – MK