Cameron Highlands Lebih Membangun Jika PH Menang

7
0

LIPIS: Lebih banyak projek pembangunan yang sudah dan akan dilaksanakan jika Pakatan Harapan (PH) diberi kepercayaan memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 26 Januari ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata jika calon Barisan Nasional (BN) menang, sudah pasti semua pembangunan tidak berjalan seperti dirancang, terutama di kawasan tanah tinggi Cameron Highlands.

“Kita harap pengundi buat pilihan tepat… pilih calon kami (M Manogaran) yang sudah pasti boleh bekerjasama baik dengan kerajaan Pusat bagi memastikan kebajikan semua kaum yang menetap di sini terjamin.

“Sejak mereka (BN) menang di sini (Cameron Highlands) pada 9 Mei lalu, bukan ada (perubahan) yang berlaku… semuanya masih sama macam sebelumnya, tapi kalau kami (PH) menang kali ini, sudah pasti banyak benda yang kita boleh buat.

“Kami dapat menyediakan pelbagai nilai tambah untuk (semua) pengundi di sini,” katanya kepada media ketika melakukan tinjauan mesra di pasar malam pekan Sungai Koyan, di sini, petang tadi.

Yang turut hadir, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu; penyelaras jentera PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai, Young Syefura Othman dan Manogaran.

Sementara itu, mengulas mengenai peluang PH menang pada PRK hujung bulan ini, Guan Eng berkata, walaupun dilihat agak sengit, beliau percaya peluang untuk menang tetap ada.

“Peluang (untuk menang) ada walaupun agak sukar… jadi, kita minta pengundi buat keputusan dengan bijaksana ketika mengundi nanti,” katanya.