Bung Moktar Diberi Amaran

18
0

KUALA LUMPUR: Datuk Bung Moktar Radin (BN-UMNO Kinabatangan) diberi amaran akan diarah keluar Dewan jika mengulangi tindakan mengeluarkan perkataan lucah, biadab dan tidak sopan sepanjang persidangan.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, membuat ketetapan itu berikutan keceluparan Bung Moktar mengeluarkan perkataan mencarut ketika mencelah ucapan Khairy Jamaluddin (BN-UMNO Rembau) dalam perbahasan Rang Undang-undang Cukai Jualan 2018, Selasa lalu.

Walaupun Bung Mokhtar memohon maaf dan menarik balik perkataan dikeluarkannya, Mohamad Ariff berkata, perbuatan itu tetap salah kerana tidak menghormati dan mencemar kemuliaan Dewan Rakyat serta melanggar Peraturan Mesyuarat 36(4).

“Adalah menjadi kesalahan kepada mana-mana ahli Dewan menggunakan bahasa yang kurang sopan, biadab atau penyataan seksis ketika berbahas, berucap, mencelah atau meminta penjelasan.

“Merujuk khusus kepada tingkah laku Kinabatangan mengeluarkan perkataan berbaur lucah pada Selasa lalu, jika tingkah laku itu berulang, Ahli Yang Berhormat Kinabatangan akan dikeluarkan dengan serta-merta untuk satu tempoh ditetapkan.

“Sekali lagi, saya mengingatkan Ahli Yang Berhormat untuk memastikan perkara ini tidak berulang pada masa depan,” katanya ketika membuat keputusan mengikut Peraturan Mesyuarat 36(4) di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamad Ariff turut mengingatkan Ahli Parlimen beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada Ahli Yang Berhormat yang gagal mematuhi peraturan itu termasuk mengarah keluar Dewan atau hukuman lain seperti termaktub dalam peraturan mesyuarat dewan.

Sesi perbahasan RUU Cukai Jualan 2018 pada Selasa lalu kecoh apabila Bung Moktar mengeluarkan perkataan mencarut kerana berang terhadap Willie Mongin (PH-Puncak Borneo) yang mengeluarkan perkataan ‘kasino’.