Bukan Semua Melayu Sokong UMNO, PAS – Anwar

56
0

KUALA LUMPUR: Presiden PKR Anwar Ibrahim tampak tidak risau dengan kerjasama Umno dan PAS yang kian erat dan menurutnya tidak semua orang Melayu menyokong dua parti itu.

“Melayu ini bukan semuanya dalam PAS dan Umno. Dalam PKR ada, persatuan pun ramai, bukan ahli (mana-mana parti) pun ramai.

“Apa yang penting bukan perpaduan Melayu saja, tetapi memantapkan kedudukan Islam, martabatkan bahasa (Melayu) dan menjaga kepentingan semua kaum di negara kita,” katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen hari ini.

Beliau diminta mengulas pertemuan rasmi antara pemimpin utama Umno dan PAS di PWTC – ibu pejabat Umno – hari ini.

Pertemuan itu dilihat sebagai langkah ke arah kerjasama yang lebih formal antara dua parti itu.

Anwar yang juga anggota parlimen Port Dickson sebelum itu mempengerusikan mesyuarat kaukus reformasi dan tadbir urus parlimen.

Mengulas lanjut, Anwar berkata isu utama tetap tadbir urus yang baik serta usaha telus untuk membantu semua rakyat yang memerlukan.

“Majoriti rakyat miskin dan terabai itu orang Melayu. Jadi tak perlu tekankan hanya satu (kaum)… Sebab kalau lihat India di estet masih perlu pembelaan, dan juga Cina dalam kumpulan miskin bandar,” katanya lagi.

Justeru katanya PH mengambil pendekatan yang betul dalam menyelesaikan masalah rakyat, terutama orang Melayu dan bukan Melayu dalam kategori berpendapatan rendah (B40).