Bukan Mudah Untuk Tun M Tumbangkan BN – Zahid

65
0
KONGSI

BAGAN DATOH: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyatukan semua parti pembangkang bagi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN), bukanlah semudah yang disangkakan.

Malah, beliau yakin cadangan itu tidak mungkin diterima oleh parti-parti pembangkang.

“Walaupun sifat pemaaf itu harus ada pada seseorang yang berjiwa besar, yang dikatakan luka lama telah sembuh, tetapi mustahil tidak ada parut yang tertinggal.

“Jadi, atas parut itulah saya yakin cadangan berkenaan sukar diterima bagi menyatukan semua parti dalam satu wadah… ini kerana tokoh berkenaan juga menyebabkan parti-parti berkenaan masih berduka dan ada parut politik,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya walaupun ‘perkahwinan’ politik bakal dijalinkan, ia hanyalah berbentuk sementara bagi mencapai tujuan pemimpin berkenaan.

“Janganlah ia dijadikan sebagai kuda tunggangan untuk mencapai sesuatu tujuan kerana keikhlasan politik itu jelas dari tindakan yang dilakukannya.

“Ramai yang melihat tindakan tersebut semata-mata untuk mencapai tujuan seseorang dan diuruskan oleh orang lain, seolah-olah memperlihat adanya kesatuan dalam kalangan pimpinan parti berkenaan,”katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datoh, menyerahkan 130 ekor lembu korban sempena Aidiladha untuk diagihkan kepada masjid, surau serta agensi kerajaan dalam Bagan Datoh

Selain Ahmad Zahid, lembu berkenaan juga disumbangkan oleh beberapa syarikat antaranya HeiTech Padu Berhad, Naza Group dan MyEG Services Berhad.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri Datuk Shahrul Zaman Yahya yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Rungkup dan Pegawai Daerah Bagan Datoh Datuk Hamzah Hussin.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang menjalan tugas Timbalan Presiden UMNO, menasihati semua pemimpin dan wakil rakyat supaya memberi bantuan secara adil kepada semua pihak yang layak dan memerlukan.

Beliau berkata budaya itu harus menjadi ikutan dan prinsip semua pemimpin, tanpa mengira parti yan diwakili, kerana beliau mendapat maklumat adanya pemimpin yang tidak memikul amanah yang diberikan.

“Jangan tolong hanya saudara mara dan yang menyokong kita sahaja. Ramai orang di luar sana perlukan bantuan.

“Ketepikanlah, jangan kisah sokong tak sokong. (Jika) mereka layak, kita beri sebab kita pemimpin dan itulah sikap pemimpin yang terbaik,” katanya.