Bukan Malaysia Yang Undang Israel – Anifah

33
0

KUALA LUMPUR: Tohmahan kononnya Malaysia secara senyap mewujudkan hubungan dengan Israel melalui penganjuran Forum Bandar Sedunia Kesembilan (WUF9) adalah tidak benar dan cubaan menagih keuntungan politik.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, menjelaskan penyertaan Israel adalah berdasarkan jemputan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui agensinya iaitu Program Penempatan Manusia PBB (UN-Habitat) selaku penganjur WUF9.

“Kita ingin tegaskan tidak seperti surat jemputan kepada negara lain, surat undangan kepada Israel bukan ditandatangani oleh mana-mana pegawai Malaysia.

“Sebaliknya, ia ditandatangani Pengarah Eksekutif UN-Habitat, selaras Perjanjian Negara Penganjur (HCA) yang dimeterai antara organisasi berkenaan dan Malaysia.

“Artikel III perjanjian itu antaranya menyatakan penyertaan dalam forum yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 7 hingga 13 Februari lalu itu dibuka kepada seluruh keanggotaan PBB dan mana-mana agensi pengkhususan.

“HCA ini adalah syarat bagi mana-mana persidangan PBB untuk diadakan di luar mana-mana ibu pejabat PBB yang sedia ada,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Parti Amanah Negara Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu hari ini, kononnya kerajaan mengambil pendekatan bungkam terhadap persoalan ditimbulkan rakyat mengenai kemasukan Israel ke Malaysia.

Anifah berkata, pendirian Malaysia terhadap Israel tidak berubah, justeru sebarang penyataan sebaliknya yang didalangi segelintir pihak berhubung perkara berkenaan sekadar berniat jahat dan berbahaya.

“Harus diingatkan, pelbagai pihak menyatakan WUF9 dikelolakan dengan jayanya dengan menyaksikan peningkatan profil dan mencerminkan pencapaian Malaysia dalam mempromosi, menyuarakan serta melaksana agenda bandar baharu.

“Selain itu, forum ini menyaksikan penyertaan lebih 25,000 orang membabitkan perwakilan dari 69 negara di peringkat menteri.

“Rakyat Malaysia harus bangga dengan kejayaan negara menganjurkan forum berprestij dan penting ini,” katanya.