Bukan Di Putrajaya – Shahrizat

24
0
KONGSI

KEPONG: Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abd Jalil menafikan desas desus beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau terkejut dengan khabar angin itu sambil menyifatkan sebagai tindakan yang tidak masuk akal.

“Eh gila ke tu? Semua khabar angin perlu dihentikan.

“Spekulasi itu tidak patut berlaku dan keutamaan saya ketika ini adalah pastikan kesiapsiagaan sayap Wanita Barisan Nasional.

“Sepatutnya, perkara yang berkaitan dengan pemilihan calon untuk bertanding pada PRU-14 hanya diputuskan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak,” katanya ketika ditemui pada program Jualan Sentuhan Rakyat di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shahrizat yang juga Ketua Wanita BN berkata, tidak sesuai baginya untuk mendedahkan bakal calon dan kerusi yang akan ditandingi BN.

“Sebagai Ketua Wanita, saya cuma boleh cadangkan nama sahaja, dan selebihnya diputuskan oleh pengerusi.

“Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Ahli Parlimen Putrajaya) melaksanakan tanggungjawab dan tugas dengan cemerlang di kawasannya.

“Beliau (Tengku Adnan) sentiasa mengambil berat rakyat Putrajaya dan saya sangat kagum dengan kepimpinan beliau,” katanya.

Ditanya adakah beliau akan kembali bertanding semula dalam PRU-14, Shahrizat berkata: “Wallahualam, hanya Allah tahu apa yang bakal berlaku pada masa hadapan. Tidak perlu lagi berspekulasi.”

Semalam, Shahrizat dilihat seperti mengesahkan desas desus bahawa beliau akan bertanding di Parlimen Sungai Besar pada PRU-14.

Malah, beliau juga tidak menafikan khabar angin itu apabila diminta mengulas jemputan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Seri Jamal Md Yunus untuk menjadi calon di situ, seperti diumumkan kepada pemberita, semalam.

Shahrizat menyifatkan jemputan tawaran permaidani merah oleh Jamal itu sebagai satu penghormatan kepada pemimpin wanita daripada seorang pemimpin lelaki.

Selain itu, Shahrizat turut menyatakan beliau bukanlah orang luar di Sungai Besar apabila persoalan calon orang luar diajukan kepadanya.