Buat Masa Ini IPF Jadi ‘Rakan BN’ – Najib

108
0

SERDANG: Barisan Nasional (BN) tidak boleh mengiktiraf Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) tanpa persetujuan semua ahli parti dalam gabungannya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata walaupun beliau tidak mempunyai masalah dengan IPF, beliau tidak boleh membuat keputusan sendiri untuk menerima IPF kerana ia bertentangan dengan perlembagaan BN.

“Sebagai pengerusi BN, saya tidak mempunyai masalah (dengan IPF). Tetapi kita perlu mematuhi perlembagaan di mana semua parti mesti sebulat suara memberi persetujuan sebelum kita menerima ahli komponen baru.

“Saya tidak boleh mengatasi Perlembagaan walaupun saya adalah pengerusi. Saya faham nasib anda dan saya mendengar hasrat anda, tetapi kita perlu mematuhi Perlembagaan,” kata Najib dalam ucapannya pada majlis sambutan Jubli Perak IPF di sini.

Najib berkata demikian ketika mengulas permintaan Presiden IPF Datuk M. Sambanthan yang sebelum ini meminta BN mengiktiraf parti berusia 25 tahun itu sebagai ahli komponen.

Najib, yang juga Presiden Umno, menggesa IPF untuk terus menyokong gabungan itu sebagai ‘Rakan BN’ dan untuk membantu menarik lebih ramai penyokong daripada masyarakat India.

“Peranan yang dimainkan IPF adalah sangat penting. BN masih terhutang budi kepada anda dan kami berharap anda akan terus menyokong kami,” katanya.

Najib berkata beliau bersedia untuk mendengar permintaan berhubung pemberian beberapa jawatan dalam majlis-majlis tempatan kepada ahli-ahli IPF.

IPF ditubuhkan oleh mendiang Tan Sri M. G. Pandithan pada tahun 1990 sebagai sebuah parti serpihan MIC.

“Kita boleh memujuk parti komponen tertentu dalam BN untuk menerima IPF, tetapi setakat ini, ia masih belum berjaya. Tetapi perlu terus mencuba,” kata Najib, tanpa menyebut nama parti.