Botol Projek Sains Disangka Bahan Letupan Berhampiran KLCC

148
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Polis telah memusnahkan dua botol kaca dipercayai mengandungi bahan letupan yang ditemui dekat Aquaria, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Dua botol berkenaan sebenarnya merupakan bahan projek sains oleh sekumpulan pelajar yang mengunjungi Petrosains, pusat sains popular di Suria KLCC.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, ia merupakan cenderahati kepada murid-murid sekolah yang kemudiannya ditinggalkan di luar pusat konvensyen.

“Ia bukannya bahan letupan tetapi uji kaji lampu yang ditinggalkan oleh murid sekolah dari Bukit Beruntung,” katanya di Twitter pada Rabu malam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan tiada elemen jenayah dalam insiden itu.

“Beberapa pelajar perempuan dari SMK Sungai Buaya dikesan berada di kawasan itu. Mereka sebelum itu mengunjungi Petrosains untuk eksperimen sains melibatkan botol,” katanya.

Botol berkenaan bagaimanapun ditemui oleh seorang tukang cuci pada kira-kira pukul 5.15 petang dan memaklumkan perkara tersebut kepada pengawal keselamatan sebelum menghubungi pihak berkuasa.

Pasukan pemusnah bom kemudiannya tiba di tempat kejadian bagi memusnahkan botol berkenaan yang sebelum itu dipercayai mengandungi bahan letupan.

Ketika kejadian berlaku, penyanyi popular dari Amerika Syarikat (AS), Richard Marx sedang mengadakan persembahan di pusat konvensyen.