Bolos Dari Penjara, Banduan Ditangkap Semula

24
0
KONGSI

Oleh: Wartawan MySuara

KOTA BHARU: Seorang banduan yang melarikan diri dari Penjara Pengkalan Chepa, Jumaat lalu, akhirnya berjaya ditangkap semula di Taman Kurnia Jaya, tengah malam tadi.

Abdullah Mat Akib, 39, ditahan orang ramai berhampiran sebuah tangki air sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut pada jam 12.15 tengah malam tadi.

Memetik laporan BHOnline, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Menurutnya, anggota polis bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat mengenai penangkapan lelaki itu dengan bantuan orang ramai.

Jelasnya, banduan itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 223 serta 224 Kanun Keseksaan.

“Permohonan reman terhadapnya akan dibuat di Mahkamah Kota Bharu, hari ini,” katanya.

Akhbar NSTP Jumaat lalu, melaporkan seorang banduan melarikan diri dari penjara Pengkalan Chepa dengan melompat pagar bangunan itu pada kira-kira jam 7 malam.

Difahamkan, banduan itu sedang menjalani hukuman penjara 13 tahun dan 10 sebatan sejak 2016 atas kesalahan merogol.