BN Tampil Calon Muda, Profesional di Selangor

1068
0

Oleh: Saadah Latib

Foto: Shaiful Nizam

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) mengetengahkan calon muda dan profesional bagi merampas kembali Selangor daripada Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bulan depan.

Menurut Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar kebanyakan daripada calon-calon yang diketengahkan pada kali ini memegang jawatan profesional seperti peguam, arkitek, jurutera dan ahli perniagaan.

“Saya yakin dengan gabungan calon-calon ini, dengan semangat perpaduan dalam kalangan BN, insya-Allah 9 Mei ini, BN dapat menawan semula Selangor,” katanya pada sidang media di Bangunan UMNO Selangor di sini, pagi tadi.

Antara wajah baru ialah arkitek Lee Yee Yuan, 28, di Sekinchan; peguam Imran Tamrin, 31, di Sungai Panjang; akauntan Salwa Yunus, 42, di Bukit Antarabangsa; jurutera Chang Toong Who, 40, di Seri Kembangan; dan ahli korporat Shahril Sufian Hamdan, 32, di Parlimen Kuala Langat.

Terdahulu, BN Selangor hari ini mengumumkan seramai 57 muka baharu dan calon muda daripada keseluruhan 56 kerusi DUN dan 22 kerusi parlimen.