Bible Turut Diedar Kepada Pelajar Melayu – Mujahid

16
0

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa memaklumkan kitab Bible yang diedarkan di hadapan sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini turut diagihkan kepada pelajar Melayu.

Mujahid berkata, selepas kegiatan berkenaan tersebar dan menjadi viral, beliau sudah mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam untuk kesahihan.

“Saya akui kegiatan mengedar kitab Bible oleh wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berlaku dan sekarang timbul persoalan kitab berkenaan diedarkan kepada siapa, adakah untuk orang Melayu atau hanya diedarkan kepada orang bukan Islam.

“Perkara berkenaan jelas menimbulkan kontroversi sebab daripada maklumat yang kita dapat ada juga yang diberikan kepada orang Melayu,” katanya ketika menjawab soalan seorang peserta program Town Hall Maqasid: Tadbir Urus Maqasid Syariah di sini hari ini yang bertanyakan isu edaran kitab Bible berkenaan.

Semalam, Mujahid pada sidang medianya di Pulau Pinang mengakui berlaku kegiatan mengedar kitab Bible kepada pelajar di hadapan sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam, seperti yang viral di media sosial baru-baru ini.

Mengulas lebih lanjut berhubung isu berkenaan, beliau berkata, ketika ini pihaknya masih menunggu maklumat lanjut berhubung kejadian itu dan difahamkan polis akan mengambil keterangan pelajar dan pengetua sekolah terbabit hari ini.

“Saya difahamkan bila mereka (pelajar) keluar sekolah itu ada Islam dan bukan Islam, kadang-kadang dia (pengedar kitab Bible) tersalah bagi ingat bukan Islam, benda itu yang saya katakan pada awal lagi bukan tindakan bijak untuk berbuat demikian,” katanya.

Dalam pada itu mengulas isu lain, Mujahid berkata, kerajaan sedang memperincikan pelaksanaan penguatkuasaan keadilan syariah yang memberi tumpuan kepada wanita yang diceraikan dan tidak mendapat pembelaan termasuk kegagalan menerima bayaran nafkah oleh bekas suami.

“Ketika ini banyak wanita yang diceraikan tidak mendapat hak mereka apabila bekas suami lepas tangan tanpa sebarang penguatkuasaan.

“Kebanyakan wanita ini tidak ada tempat untuk mengadu dalam segi penguatkuasaan. Bagaimanapun, perkara ini sudah dibincangkan di peringkat Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), saya harap penguatkuasaan itu dipertingkatkan contohnya mengenakan sekatan bank ke atas lelaki yang ‘liat’ untuk membayar nafkah kepada bekas isteri mereka,” katanya.

Ditanya jumlah dan peratusan lelaki yang gagal membayar nafkah seperti diperintahkan mahkamah, katanya beliau tidak mempunyai statistik itu, namun tidak menafikan jumlahnya ramai.

“Ramai yang terbabit dalam hal ini berdasarkan aduan yang diterima daripada isteri yang tidak dibela kerana kegagalan dan kecuaian suami untuk membayar nafkah yang sudah diputuskan mahkamah.

“Jadi kita perlu ada penguatkuasaan yang lebih tegas supaya mereka tahu bahawa keputusan mahkamah itu perlu dihormati dan kalau mereka tidak buat akan ada tindakan penguatkuasaan ke atas diri mereka,” katanya.