Bersetuju BR1M Diteruskan – Tun M

69
0

Oleh : Wartawan MySuara

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan melalui beberapa perbincangan bersetuju untuk meneruskan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperkenalkan oleh Barisan Nasional (BN) yang bertujuan meringankan kos hidup golongan berpendapatan rendah.

Memetik laporan Utusan Online, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan bagaimanapun akan mengkaji struktur bantuan tersebut supaya tidak dilihat sebagai alat untuk memberi rasuah kepada rakyat agar menyokong kerajaan.

“Kita sudah setuju akan teruskan BR1M, tetapi kita kaji juga kerana kadangkala ada orang tidak layak masih menerima juga bantuan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, di sini hari ini.

Sepanjang musim Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), pemimpin Pakatan Harapan sentiasa melabelkan BR1M sebagai ‘dedak’ atau rasuah kononnya sebagai tindakan untuk menarik hati rakyat agar menyokong BN.

Turut hadir pada sidang media tersebut Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.