BERSATU Perlu Tolak Budaya UMNO – Tun M

5
0

KUALA LUMPUR: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad berharap kepemimpinan parti itu terus berpegang kepada perjuangan asal membela kebajikan rakyat berpandukan prinsip demokrasi.

Dalam satu wawancara khas sempena ulang tahun kedua BERSATU, Perdana Menteri turut menegaskan supaya ahli dan pimpinan BERSATU mengambil iktibar daripada kekalahan kerajaan terdahulu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang berpunca daripada sikap tamak dan mementingkan diri.

“Saya sedar ramai juga ahli BERSATU adalah bekas ahli UMNO. Namun, saya harap kepemimpinan parti berpegang kepada asas dan dasar kita.

“Kalau kita jadi macam UMNO, hanya utamakan apa yang kita dapat, kita tidak akan berkembang, malah kita akan tewas pada PRU-15 nanti.

“Pemimpin BERSATU perlu sedaya upaya menolak budaya UMNO jika mahu berjaya. Kita juga akan sekat ahli UMNO yang cuba masuk BERSATU atas kepentingan diri sendiri,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran utama BERSATU selepas memenangi PRU-14 pada 9 Mei lalu, Dr Mahathir akui untuk berkhidmat dalam pentadbiran yang sudah rosak menjadi masalah besar baginya.

“Jentera kerajaan mengalami kerosakan teruk kerana dijadikan alat Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama.

“Jadi, kita perlu pulihkan keadaan kewangan negara yang mana jauh lebih teruk daripada jangkaan sebelum kita memenangi PRU-14.

“Berdasarkan maklumat yang kita peroleh, kita fikir masalah kewangan yang ada boleh diselesaikan, namun hutang sebenar negara adalah jauh lebih besar,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, gabungan parti berbilang kaum dalam BERSATU berjaya memberi impak besar dalam usaha menjatuhkan kerajaan Datuk Seri Najib Razak yang disifatkan zalim dan kleptokrasi.

“Tidak dinafikan kita juga bekerjasama dengan parti berbilang kaum, sama seperti UMNO dulu.

“Namun, dengan adanya kejayaan gabungan ini, kita dapat mempengaruhi semua pihak untuk menumpukan perhatian kepada matlamat utama dan lupakan sengketa lama.

“Oleh kerana kita berjaya bekerjasama, rakyat menyokong kita sehingga mendapat kejayaan yang cukup besar.

“Walaupun kemenangan tidak mencapai dua pertiga, BN tidak boleh elak daripada mengaku bahawa mereka sudah kalah,” katanya.

Dr Mahathir dijangka menyampaikan amanat khas sempena ulang tahun kedua BERSATU di Stadium Malawati, Shah Alam, malam ini