Berpegang Pada Tiga Prinsip Untuk Kekal Dalam Politik – Najib

173
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau berpegang kepada tiga prinsip sejak melibatkan diri dalam politik 40 tahun lepas, dan tidak akan menghancurkan UMNO yang telah dibina Allahyarham bapanya Tun Abdul Razak Hussein.

Prinsip paling utama yang dipegang adalah perbanyakkan kawan daripada lawan, kata perdana menteri.

“Dalam dewan ini misalnya, Kelab Sahabat N87 yang hadir, sentiasa setia bersama saya selama ini dalam keadaan senang, cemas, tetap bersama saya,” katanya ketika berucap pada majlis tahlil bersempena ’40 Tahun Najib Razak dalam Politik’ di sini, malam ini.

Majlis berkenaan dianjurkan oleh Kelab Sahabat Najib Razak N87 yang terdiri daripada bekas ketua pemuda UMNO sezaman dengan Najib.

Najib menjelaskan beliau juga memegang prinsip tidak pernah bertanding untuk menjatuhkan sesiapa dalam politik.

“Rekod saya dalam setiap pertandingan kalau ada kosong baru saya bertanding, dengan ini saya tidak akan jatuhkan sesiapa,” katanya.
Prinsip ketiga pula adalah tidak pernah membeli undi dalam parti.

“Allahyarham ayahanda saya yang membina UMNO dan saya takkan menjadi anak yang menghancurkan parti,” tegas beliau.

Perdana Menteri berkata, biarpun beliau disifatkan penyabar oleh rakan politiknya, namun, mengakui kesabaran beliau ada hadnya terhadap mereka yang cuba mencalar kredibiliti kepimpinannya.

“Ya…saya penyabar, saya setuju. Tetapi sabar ada had juga. Jangan fikir saya diam boleh buat sesuka hati, dan jika sudah melebihi had saya akan bertindak tetapi mestilah berdasarkan fakta dan kepentingan kerajaan,” katanya.

Najib juga menyifatkan tiada profesion yang boleh menandingi profesion ahli politik sekiranya berhasrat untuk membantu rakyat dan mengubah masa depan negara.

Terdahulu, Najib menyertai kira-kira 2,000 tetamu dalam majlis tahlil dan bacaan Yasin serta menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah. – FMT