Berhimpun Secara Aman, Jangan Keruhkan Keadaan – Muhyiddin

7
0

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan penganjur dan peserta Himpunan Jihad Perkasa agar berhimpun secara aman dan sentiasa mematuhi undang-undang.

Pada masa sama, mereka diingatkan agar tidak melakukan tindakan atau mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat hubungan antara kaum di negara ini.

“Berhubung Himpunan Jihad Perkasa yang dirancang diadakan di Jalan Raja Alang, Kampung Baru, Kuala Lumpur sempena Persidangan Agung Tahunan Perkasa ke-9 pada 2 Disember 2018, saya ingin mengingatkan pihak penganjur dan peserta perhimpunan ini supaya berhimpun secara aman dan mematuhi undang-undang pada setiap masa.

“Elakkan daripada mengambil tindakan yang mengganggu ketenteraman awam atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menyebabkan ketegangan dalam hubungan antara kaum,” katanya dalam satu kenyataan di akaun sosial Facebooknya hari ini.

Menurutnya, polis akan memantau perhimpunan berkenaan bagi memastikan ia berlangsung aman dan undang-undang negara dipatuhi.

Tambahnya, tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang.

“Negara kita baru sahaja melalui insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield yang telah menyebabkan keresahan dalam masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan yang telah pun dapat dikawal pada masa ini,” tambahnya lagi.

Muhyiddin percaya Perkasa sebagai NGO yang telah lama tertubuh di bawah kepimpinan yang bertanggungjawab akan memahami dan sentiasa mendukung prinsip kedaulatan undang-undang, keharmonian rakyat serta ketenteraman dan keamanan negara.