Belia Harus Menjadi Pendesak Idea Matang – Wan Azizah

32
0
Foto - Bernama

Oleh: Fadhil Daud

BANGI: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa Majlis Belia Malaysia (MBM) terus menjadi jambatan antara belia dengan kerajaan atas prinsip “rakan pembangunan” dalam memperkasakan ekonomi dan sosial sejagat.

Kerajaan memerlukan peranan MBM dalam memacu bisnes teras dalam melahirkan kepimpinan yang berkaliber serta berkualiti untuk mewujudkan belia dan negara yang progresif.

Jelasnya, suara, pendapat dan perjuangan generasi muda yang lahir dari golongan cendiakawan mampu didengari dan diterima oleh rakyat.

“Perkara ini jelas membuktikan bahawa generasi muda mampu menjadi¬† pencetus kepada idealogi dan semangat baru yang berkobar-kobar.

“Suara dan peranan pemimpin belia khususnya MBM amat penting dalam menjayakan agenda reformasi kerajaan serta menjadi kumpulan pendesak sebagai mekanisma semak-seimbang.

“Pemimpin belia bebas mengkritik dan memberikan idea yang konstruktif kepada kerajaan selama menjaga adab keagamaan dan ketatasusila ketimuran yang tinggi,” Jelasnya ketika merasmikan sambutan 7 Dekad Majlis Belia Malaysia di Bangi Avenue.

Dalam perkembangan yang sama, sempena pemilihan jawatankuasa kerja MBM sesi 2018/2020, beliau turut mencadangkan penyertaan wanita dalam barisan kepimpinan dipertingkatkan.

“Jika dilihat daripada barisan kepimpinan 2016/2018, hanya tiga wanita sahaja berada tampuk pimpinan iaitu Naib Presiden dan dua orang ahli jawatankuasa.

“Sekali gus, hal ini terlalu jauh di belakang sasaran Malaysia baru yang mahu melihat wanita sekurangnya 30 peratus dalan barisan kepimpinan,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir.