Beku Akaun Parti Tindakan Tidak Budiman – Asyraf

17
0

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO menyifatkan tindakan pihak berkuasa membekukan akaun parti itu sebagai tidak budiman dan hipokrit.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata parti politik seharusnya dibenarkan bergerak bebas tanpa menyekat atau mengekang pergerakannya hanya kerana berbeza pandangan.

“Jika kita ingin mewajahkan Malaysia baharu seperti yang dicanangkan, suasana demokrasi haruslah lebih terbuka tetapi pada masa sama menyekat kita, ini tidak ‘gentleman’ dan hipokrit.

“Ketika Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan yang dianggap zalim, kita tidak pernah menyekat mana-mana akaun parti politik malah ketika Parti Pribumi Bersatu Malaysia digantung oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS), kerajaan pada waktu itu tidak menyekat atau membekukan akaun parti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Pergerakan Pemuda UMNO di Menara Dato Onn di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan dan EXCO pergerakan itu.

Asyraf berkata, kerajaan seharusnya mengotakan janji mereka untuk menerapkan nilai politik demokrasi yang subur seiring ke arah Malaysia baharu.

Sementara itu, Asyraf berkata Pemuda UMNO menyokong sebarang usaha menggubal akta berkaitan pembiayaan politik.

Katanya, pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berhubung perkara itu amat dialu-alukan.

“Saya rasa kita sudah lama mahu menggubal akta terbabit namun ketika itu mendapat tentangan daripada parti pembangkang yang hari ini sudah menjadi kerajaan.

“Bagi kami, ia harus bersifat terbuka dan telus kerana dalam konteks ini, ia akan memberi isyarat jelas kepada rakyat bahawa kita tiada apa yang ingin disorokkan daripada rakyat,” katanya.